Bukan semua tak boleh terima, ada juga fans Sang Penyu 'approve' sikap tegas Tomi


  • Podium
  • Ahad, 02 Jul 2023

Tomislav mula menunjukkan ketegasannya selepas prestasi tidak menentu ditunjukkan skuad Sang Penyu. — Facebook/Terengganu FC

LUKA akibat penyingkiran Terengganu FC daripada kancah Piala FA kurang dari dua minggu lalu pastinya masih dirasai hampir keseluruhan penyokong kelab berkenaan.

Beraksi di laman sendiri, skuad Sang Penyu gagal memanfaatkan setiap peluang yang terhidang apabila mereka terikat tanpa jaringan dengan Kuala Lumpur (KL) City FC.

Meskipun perlawanan dibawa ke masa tambahan, kedua-dua pasukan juga buntu untuk menggegarkan jaring lawan sebelum aksi terpaksa diheret ke penentuan sepakan penalti.

Namun, Terengganu FC gagal mengulangi kejayaan musim lalu apabila kemenangan berpihak kepada skuad Warga Kota dengan keputusan terakhir dicatatkan 4-2 tanpa prejudis.

Pelbagai perkara menarik dapat disaksikan sejurus wisel penamat ditiupkan dengan ramai pihak menyalahkan pemain tengah, Liridon Krasniqi atas kekalahan berkenaan.

356252245_249210074487101_663124778804726684_n

Penyokong skuad Sang Penyu mula hilang kepercayaan terhadap Tomislav. Facebook/Terengganu FC

Sepakannya yang lemah berjaya ditepis penjaga gol KL City FC, Azim Al-Amin, sekali gus mengecewakan ribuan penonton yang membanjiri Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Terengganu.

Bagaimanapun, cemuhan orang ramai tidak terhenti di situ apabila ketua jurulatih, Tomislav Steinbruckner juga terkena tempias di sebalik kemarahan itu.

Di samping gagal menerapkan taktikal terbaik, pengendali dari Croatia itu juga mencetuskan rasa kurang senang apabila mendedahkan bahawa beberapa pemain bertegas untuk tidak mengambil sepakan penalti.

Jordan Mintah, Hakimi Abdullah dan Faiz Nasir merupakan nama yang disebutnya ketika sidang media selepas perlawanan yang mana mendapat perhatian ramai.

Antara respons yang dilontarkan adalah dengan penyokong Sang Penyu berasakan Tomislav tidak tegas dalam memikirkan keputusan terbaik buat pasukan.

Tetapi, saga di sebalik insiden berkenaan tidak terhenti di situ apabila terdapat laporan bahawa Mintah akan digugurkan untuk aksi Liga Super menentang Kedah Darul Aman FC pada Isnin.

354257637_248793144528794_8300764515284908158_n

Terdapat kemungkinan bahawa Mintah tidak akan diturunkan untuk aksi Liga Super menentang skuad Sang Kenari. Facebook/Terengganu FC

Hal itu dijangka akan terus menimbul rasa berang memandangkan penyerang kelahiran Ghana tersebut merupakan penjaring terbanyak Terengganu FC setakat ini.

Namun, perkara sebaliknya pula berlaku apabila majoriti daripada pengikut setia kelab Pantai Timur berkenaan mula memuji tindakan berkenaan.

Bagi Hafiq Din, keputusan sebegitu dilihat tidak adil bagi sesetengah pihak, tetapi penting untuk memastikan pasukan sentiasa mematuhi disiplin.

"Bagus coach, tegas dalam mendisiplinkan pemain. Main liga sekolah pun kena buang dahulu kalau tidak ada disiplin ni. Ni pula main Liga Super, disiplin kena no 1," katanya.

Pandangan berkenaan turut dilaungkan Hyung Jack dengan dia berpendapat langkah tersebut dibuat semata-mata untuk membangunkan mentaliti pemain.

"Buatlah bagaimana sekali pun. Aku cuma perhatikan sahaja, sesuatu tindakan akan ada kesan buruk dan baik dan pada pandangan sesetengah pihak, mungkin akan merugikan pasukan.

"Tetapi, ada yang lain pula berasakan ia bagus untuk melatih mentaliti dan ketegasan untuk setiap pemain supaya lebih bersedia," katanya.

Bagi Sera Sera pula, keputusan itu dibuat kerana ia terletak di bahu Tomislav yang berperanan untuk mencari pendekatan terbaik dalam setiap perlawanan.

"Semua ini berada di atas coach sendiri kerana dia yang uruskan dan bertanggungjawab. Janji nak menang, buatlah apa-apa sekali pun," katanya.

Selepas 14 perlawanan, Terengganu FC kini berada di tangga kelapan dengan mereka berpeluang untuk menambah baik kedudukan itu dalam aksi menentang skuad Sang Kenari pada Selasa. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram