Enggan ambil penalti, Mintah diketepikan Sang Penyu masa jumpa Sang Kenari


  • Podium
  • Sabtu, 01 Jul 2023

Barisan pemain Sang Penyu kecewa apabila gagal mara ke final Piala FA. — Facebook/Terengganu FC

SELEPAS gagal menggalas tanggungjawab mengambil sepakan penalti, penyerang import Terengganu FC (TFC), Jordan Mintah didakwa tidak diturunkan untuk perlawanan menentang Kedah Darul Aman FC (KDA FC) dalam saingan Liga Super 2023 pada Isnin.

Dalam pada itu, pengendali TFC, Tomislav Steinbruckner mengesahkan Mintah diketepikan dalam aksi bertemu KDA FC atas faktor disiplin penyerang itu dalam perlawanan terdahulu.

"Benar dia tidak akan diturunkan. Sebagai ketua jurulatih, saya yang menentukan pilihan barisan.

"Saya tidak boleh merungut kualiti pemain tetapi disiplin haruslah menjadi keutamaan kami," katanya kepada Nadi Arena.

WhatsApp Image 2023-07-01 at 08.51.35

Jordan Mintah dalam aksi menentang Sabah FC. — Instagram/jordan_mintah28

Tidak dinafikan, keharmonian bilik persalinan skuad Peteh terjejas berikutan kekalahan dalam penentuan sepakan penalti kepada The City Boys dalam saingan separuh akhir Piala FA pada Ahad minggu lepas.

Sebelum ini, pengendali Croatia itu menyebut tiga nama pemain Sang Penyu yang tidak mempunyai keyakinan untuk mengambil sepakan penalti tersebut iaitu Jordan Mintah, Faiz Nasir dan Hakimi Abdullah.

Bagaimanapun, selepas ditundukkan oleh Kuala Lumpur City FC (KL City FC) di laman sendiri, ketua jurulatih Sang Penyu memberi bayangan bahawa bakal mengadakan rombakan dalam pasukan menjelang perpindahan kedua yang bermula pada Rabu depan.

Pengendali TFC turut mengongsikan mengenai pemain import dari Uzbekistan, Nurillo Tukhtasinov yang mampu memperkemaskan posisi tengah Sang Penyu.

"Nurillo Tukhtasinov mungkin akan datang.

"Kami juga memantau sumber berbeza termasuk bakat tempatan di bahagian tengah dan penyerang.

"Mungkin beberapa pemain import perlu ditukar seperti menamatkan kontrak mereka untuk tujuan penjimatan.

"Terlalu ramai pemain yang merebut posisi Habib Haroon seperti Domagoj Pusic dan Liridon Krasniqi. Mereka semua adalah pemain tengah bertahan dan bukannya pemain tengah menyerang sejati," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram