SKUAD Terengganu FC (TFC) berjaya menundukkan The Red Warriors (TRW) dengan keputusan 4-2 dalam kelayakan separuh akhir saingan Piala FA yang berlangsung di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak, Terengganu pada Sabtu.
Namun kegembiraan itu ternyata tidak berpanjangan apabila salah seorang penjaring muda mereka, Syafik Ismail mengalami kecederaan pada saat-saat terakhir perlawanan selepas menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-82.
Difahamkan, pemain sayap skuad Sang Penyu berusia 23 tahun itu mengalami kecederaan ACL (Completed Tear Ligament), sekali gus dia dilaporkan bakal terlepas untuk beraksi bersama pasukannya dalam perlawanan Liga Super dan kejohanan Asean Football Cup (AFC).
Melihat situasi itu, ada penyokong yang berpandangan, kehilangan Syafik ibarat memberi sinar baharu buat Muhammad Faiz Nasir untuk kembali mendapatkan minit permainan yang lebih banyak.
Syafik (tengah) meraikan gol kemenangan selepas mencetak gol pada penghujung babak kedua dalam aksi separuh akhir saingan Piala FA. — Facebook/Terengganu FC
Laman Facebook, Analisis Bola Tranung dalam satu hantaran pada Ahad menyatakan, walaupun banyak terganggu oleh masalah kesihatan sebelum ini, Muhammad Faiz terus meletakkan penanda aras yang agak baik apabila diturunkan sebagai pemain gantian dalam aksi pada Sabtu.
Ujarnya, meskipun pemain berasal dari Pasir Mas, Kelantan itu masih belum mampu untuk mencapai tahap kecergasan yang maksimum, namun dia mampu meninggalkan impak apabila diturunkan bukan dalam 90 minit perlawanan.
"Sedar ataupun tidak, Faiz Nasir sudah pun berusia 31 tahun, dia dikira sebagai pemain senior yang TFC miliki musim ini.
"Memasuki musim keenam di Terengganu, tetapi dipisahkan setahun untuk bersama Selangor pada 2019, sudah empat musim berturut-turut dia menabur bakti kembali di kelab TFC yang kita sayangi ini. Itulah Faiz Nasir yang kita kenali," tulisnya.
Faiz Nasir dikira sebagai pemain senior yang dimiliki TFC musim ini. — Facebook/Terengganu FC
Mengikut pandangan halaman Facebook itu, Muhammad Faiz bukanlah pemain pilihan utama untuk kesebelasan utama pada musim 2023.
Namun jelasnya, kekosongan yang ditinggalkan Syafik dilihat memberi peluang lebih cerah buatnya kerana pemain yang popular dengan gelaran 'Messi Terengganu' itu hanya perlu bersaing dengan Nik Sharif Haseefy di posisi sayap kanan.
"Memandangkan Nik Syariff juga masih tercari-cari prestasi yang lebih baik, munculnya Faiz Nasir sebagai penyelamat di posisi yang agak sendu ini.
"Walaupun gaya permainan mereka berdua sangat berbeza, namun Tomislav Steinbruckner boleh memilih untuk menggunakan antara mereka berdua pada waktu yang sesuai.
"Faiz Nasir bukan lagi pemain yang mampu menunjukkan usaha secara individu dengan baik, tetapi dia kini memerlukan dan diperlukan oleh rakan sepasukan untuk berbuat sesuatu. Ia berbeza dengan Faiz Nasir 2017 dan 2018.
"Jika kita lihat pada gaya permainannya beberapa musim kebelakangan ini, termasuk di bawah kendalian Nafuzi, Faiz Nasir tidak gemar untuk stay di wide area walaupun itulah kawasannya sebagai pemain sayap. Begitulah aksinya pada kelmarin," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram