PEMAIN pertahanan Negeri Sembilan FC, Safuwan Baharudin dikhabarkan akan menyertai skuad Selangor FC selepas kontraknya bersama skuad Jang hanya diikat sehingga pertengahan musim ini.
Perkara itu dikongsikan menerusi kenyataan laman web rasmi NSFC yang mengucapkan selamat tinggal kepada pemain berkenaan.
"Kelab NSFC ingin mengucapkan terima kasih kepada Safuwan. Selamat maju jaya bersama pasukan baharu yang bakal disertai," tulisnya dalam kenyataan sekali gus mengesahkan perpindahan pemain import terbabit.
Pemain import dari Singapura itu lantas dikaitkan dengan Selangor FC, yang pernah menjadi majikannya sebelum ini.
Mengundang spekulasi dalam kalangan penyokong, seorang peminat bola sepak tanah air menerusi akaun Instagram One Football mengkritik perpindahan tersebut dengan memetik kata-kata pemilik JDT, Tunku Mahkota Johor (TMJ) Tunku Ismail Idris.
"Betullah TMJ kata, duit banyak, tak guna kepala otak tak guna juga. Dapatkan dua import Asia Tenggara dalam satu pasukan dengan kedua-dua negara berada di ranking lebih rendah berbanding Malaysia," tulisnya.
Hantaran yang dibuat Onefootball.my mengkritik khabar angin mengenai kepulangan Safuwan ke Selangor FC.
Namun, berita perpindahan pemain itu ke Selangor FC menerima pelbagai respons dalam kalangan peminat yang melihat kedua-dua pasukan tersebut mempunyai kelebihan dan kekurangan tersendiri sekiranya penghijrahan pemain itu benar-benar direalisasikan
Dengan melihat kepada situasi semasa skuad Merah Kuning, terdapat kelebihan buat Selangor FC sekali gus membolehkannya mengambil peluang tersebut untuk menutup dakwaan penyokong tentang percaturannya ke kelab berkenaan.
Namun, dari perspektif berbeza, terdapat kontra bagi skuad Negeri Sembilan mengharungi baki musim susulan berita perpindahan Safuwan.
Pro Selangor menerima kehadiran Safuwan
Skuad Gergasi Merah akan memiliki pemain versatil dan berkemahiran tinggi yang mampu menyumbang kejayaan buat anak-anak buah Tan Cheng Hoe dengan kelibat Safuwan di atas padang akan dijadikan tonik terbaik buat rakan sepasukannya.
Mampu beraksi di dua posisi berbeza, Safuwan boleh berperanan sebagai pemain tengah dan pertahanan sekali gus memberikan lebih banyak pilihan buat barisan kejurulatihan dalam merancang taktikal terbaik buat Selangor.
Safuwan pernah beraksi bersama skuad Gergasi Merah pada 2019.
Gergasi Merah yang kini kehilangan import pertahanan tengah, Yazan Al-Arab akibat kecederaan dialami, berpeluang untuk mendapatkan pengganti bagi posisi tersebut dengan Safuwan dikatakan calon terbaik untuk bergandingan dengan Quentin Cheng dan Fazly Mazlan di bahagian kanan dan kiri pasukan.
Dalam pada itu, skuad Selangor juga akan memiliki kelebihan dari segi gandingan baharu yang bakal diperoleh dengan pemain import berketinggian 1.81 meter tersebut berpotensi untuk diletakkan di posisi tengah bersama penyerang sensasi, Mukhairi Ajmal selaku enjin pasukan.
Dengan hantaran tepat serta kawalan bola kemas yang menjadi antara skil mahalnya, Selangor dijangka mempertaruhkan Safuwan dalam kesebelasan utama perlawanan akan datang sekali gus menjadi nadi baharu bagi Gergasi Merah pada musim ini.
Kontra NSFC melepaskan Safuwan
Pemergian Safuwan ke pasukan lain pastinya akan meninggalkan kesan mendalam buat skuad Jang yang akan berhadapan krisis di posisi pertahanan kanan.
Tidak ramai yang ada dengan nama Ramaloo Aroon Kumar dan Che Rashid Che Halim mungkin dijadikan sandaran sekiranya Safuwan berhijrah ke Selangor sekali gus mengundang masalah buat anak-anak buah K. Devan bagi mengekang asakan penyerang pasukan lawan.
Dengan pengalaman dimiliki sepanjang beraksi di Liga Malaysia (Liga M), ketiadaannya pastinya akan dirasai oleh seluruh barisan pemain NSFC yang banyak bergantung kepada kelibat pemain tersebut.
Selain itu, skuad Jang juga akan kekurangan pemain import susulan peninggalan Safuwan, bakal menyaksikan pasukan itu hanya memiliki empat khidmat import pada musim ini.
Dua import di bahagian serangan dan dua pertahanan merupakan satu jumlah yang kecil dan boleh mendatangkan krisis buat skuad tersebut apabila kekurangan kepakaran luar negara untuk berdaya saing dengan pasukan lain yang terdiri daripada ramai pemain warisan dan import berkualiti.
Justeru, keputusan Safuwan Baharudin ke kelab lain nyata satu berita yang besar buat kancah Liga M dengan dua pasukan di atas kian menjadi tumpuan utama pemerhati bola sepak tanah air. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram