[VIDEO] Tahanan lari dari lokap berjaya diberkas semula, 6 anggota polis IPD Dang Wangi disiasat


  • 112
  • Rabu, 12 Jul 2023

Tangkap layar seorang tahanan melarikan diri dari IPD Dang Wangi, Kuala Lumpur pada Selasa.

POLIS mengesahkan seorang tahanan telah meloloskan diri dari lokap di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi, Kuala Lumpur pada Selasa.

Tanpa mendedahkan butiran lanjut, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, ketika kejadian, pihak polis dalam proses membawanya ke mahkamah untuk proses pertuduhan.

Beliau berkata, kejadian berkenaan berlaku pada pukul 9.40 pagi dan polis telah melancarkan Op Cari bagi mengesan tahanan berkenaan.

"Dalam pukul 1.50 tengah hari (hari yang sama), kami dapat mengesan dan menahan semula tahanan berkenaan dan bawanya semula ke balai," katanya dalam sidang media selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan Ketua Polis Kuala Lumpur di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur pada Rabu.

Beliau berkata, polis juga telah membuka kertas siasatan terhadap enam anggota polis yang sedang bertugas ketika kejadian dan tindakan susulan akan diambil ke atas mereka.

Mohd Shuhaily berkata, siasatan sedang dijalankan bagi mengetahui sama ada timbul kelalaian daripada anggota bertugas atau suspek berkenaan mempunyai kepakaran tersendiri dalam meloloskan diri.

Sementara itu, Mohd Shuhaily berkata, Op Hormat Undang-Undang Jalan Raya Polis Kuala Lumpur mencatatkan lebih 26,000 saman dikeluarkan setakat Ahad lepas.

Beliau berkata, kesalahan halangan lalu lintas direkodkan paling tinggi dengan 18,931 saman diikuti lain-lain kesalahan (3,217) dan kesalahan kenderaan di laluan pejalan kaki sebanyak 1,931 saman.

Menurutnya, sebanyak 86 individu turut ditahan atas pelbagai kesalahan jenayah dan trafik serta sebanyak 99 kenderaan telah disita.

"Yang menjadi kebimbangan saya ketika ini ialah kehadiran warga asing yang menunggang motosikal tanpa lesen. Ada dokumen tapi tiada lesen," katanya.

Mengulas mengenai pemilikan motosikal, Mohd Shuhaily berkata, rata-rata mereka menyewa daripada warga tempatan dan diberi oleh majikan.

Beliau berkata, operasi itu mendapat respons yang positif dan kebanyakan pengguna jalan raya di ibu negara memohon agar operasi ini dipanjangkan berbanding tempohnya hanya sebulan. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram