Wish hari lahir buat orang kuat Perak FC, fans minta 'hadiah' tebus kontrak bintang JDT


  • Podium
  • Rabu, 12 Jul 2023

Sentuhan Shahrul Saad kembali ditagih di skuad Perak menjelang musim depan. — Facebook/JDT

MESKIPUN skuad PERAK FC dilanda krisis dan kemelut prestasi yang kurang memberansangkan pada musim ini, namun rata-rata penyokong masih menghargai usaha pihak pengurusan yang kekal berjuang mempertahankan kedudukan pasukan itu di saingan Liga Super.

Sokongan peminat masih terlihat menerusi beberapa ucapan hari jadi yang dizahirkan buat pengerusi pasukan Perak FC, Datuk Seri Abdul Azim di laman Facebook pada Selasa.

Mendoakan kesejahteraan buat beliau, kesempatan itu juga digunakan sebaiknya oleh penyokong skuad Seladang yang tampil dengan beberapa permintaan berhubung prestasi semasa pasukan tersebut.

jadi

Perak FC memuat naik ucapan hari lahir buat pengerusi kelab tersebut di laman Facebook. — Facebook/Perak FC

Untuk rekod, Perak yang kini berada di kedudukan keempat tercorot liga, masih gagal memperoleh sebarang kemenangan dalam enam perlawanan terdahulu yang menyaksikan anak-anak buah Yusri Che Lah hanya memungut 10 mata daripada 16 perlawanan ditempuhi setakat ini.

Melihatkan persembahan Perak yang semakin merudum, seorang peminat skuad Seladang tampil membuat permohonan agar pasukan itu menebus semula kontrak bekas pemain pertahanan, Shahrul Saad yang kini beraksi bersama Johor Darul Takzim (JDT).

Berpendapat bahawa The Bos Gaurus (TBG) amat memerlukan kelibat individu berpengalaman di posisi tersebut, Shahrul Saad dikatakan calon terbaik untuk dikembalikan ke Perak pada jendela perpindahan kedua pemain musim ini.

Hassan Hassan di ruangan komen Facebook meluahkan permintaannya berhubung perkara itu.

"Salam Tok Azim, selamat hari lahir semoga sihat walafiat, teman (saya) ni orang Batu Gajah juga, kalau boleh Tok Azim tebus kontrak Shahrul Saad di JDT tu supaya dia dapat kembali ke pangkuan Perak FC.

"Sebab dalam pemerhatian saya dan juga seluruh peminat bola sepak Perak, ketika ini kita tiada pertahanan yang padu, jadi saya dan peminat-peminat yang lain ingat kalau ada Shahrul Saad di benteng akhir Perak boleh pergi jauh musim depan.

"Ini cuma cadangan dan harapan peminat jika pihak pengurusan XOX ada kemampuan, harap jadi kenyataan," ujarnya.

Tidak dinafikan bahawa pertahanan JDT itu sememangnya antara yang terbaik pernah dimiliki skuad Seladang dan sehingga kini, masih belum ada yang dapat menyamai rekod cemerlang Shahrul Saad di pasukan Perak.

saak

Shahrul Saad (kanan) antara pemain pertahanan terbaik pernah dimiliki skuad Perak. — Facebook/PerakFC

Ketiadaannya di posisi pertahanan diisi dengan beberapa pemain lain seperti Hasnul Zaim Zafri, Haziq Puad dan pemain import Shivan Pillay yang boleh dikatakan tonggak utama pada musim ini.

Shivan Pillay yang diturunkan dalam 15 perlawanan pada musim ini masih gagal untuk membantu skuad Perak daripada dibolosi jaringan besar dengan rekod kekalahan terburuk dicatatkan adalah ketika tumpas 0-5 kepada JDT di hadapan penyokong sendiri.

Mula mewakili Perak pada 2016, Shahrul Saad kemudiannya berhijrah ke Harimau Selatan pada 2021 yang menyaksikan pemain berketinggian 1.78 meter itu terus mempamerkan peningkatan dengan kelibatnya sentiasa disenaraikan dalam kesebelasan utama di JDT.

Justeru, dengan prestasi konsisten dipamerkan, peminat mengharapkan agar Shahrul Saad dapat dikembalikan ke Perak selewat-lewatnya untuk persiapan bagi menghadapi musim depan dengan situasi Perak ketika ini kian merudum dan hampir menemui jalan buntu.

Sementara itu, terbaharu Perak FC dilaporkan telah membawa masuk penyerang baharu, Luka Milunovic untuk memperkuatkan skuad TBG dalam menghadapi baki saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim ini.

Penyerang berusia 30 tahun itu pernah beraksi di Liga-M untuk pasukan tanah air iaitu Melaka United dan Sabah FC pada musim 2019 dan menjaringkan 10 gol dalam 21 penampilan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram