Rakyat Borneo masih tiada IC, kerajaan disaran beri akses guaman di kawasan pedalaman


  • Massa
  • Rabu, 12 Jul 2023

Penduduk di Borneo dikatakan masih ramai yang belum menerima status kewarganegaraan ataupun MyKad. — Gambar hiasan

STATUS warganegara penduduk di Sabah dan Sarawak sering menjadi topik bualan hangat masyarakat lantaran sebahagian rakyat di negeri terbabit dikatakan masih belum menerima sebarang butir pengenalan diri ataupun MyKad.

Situasi itu kian meruncing sejak berdekad lamanya susulan beberapa laporan media sebelum ini pernah melaporkan isu berkenaan seolah-olah masih tiada penyelesaian.

Beberapa isu berbangkit menjadi faktor kepada permasalahan tersebut yang sebahagian daripadanya dikatakan berpunca akibat masalah infrastruktur seperti ketiadaan bekalan elektrik, kemiskinan dan laluan berliku perlu diharungi untuk individu mendaftar di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) yang terletak di kawasan bandar.

Terbaharu, seorang individu di Twitter dikenali sebagai @WongKukui berkongsi detik manisnya apabila berjaya memperoleh kerakyatan Malaysia selepas 16 tahun berjuang melalui labirin undang-undang dan birokrasi mahkamah.

Menerima bantuan daripada syarikat guaman Haijan Omar & Co, individu berkenaan difahamkan telah berhijrah ke Semenanjung semata-mata untuk mendapatkan khidmat serta kepakaran daripada guaman tersebut.

ONG

WongKukui berkongsi kegembiraannya di laman Twitter sebaik menerima kerakyatan di negara ini. — Twitter/WongKukui

Dengan isu berkenaan yang semakin mendapat perhatian ramai, rata-rata rakyat di Borneo tampil dengan masalah sama yang perlu dibantu dari segi akses guaman dan pertolongan agensi itu di kawasan terbabit.

Mengulas lanjut berkaitan isu tersebut, Haijan Omar yang merupakan peguam bertanggungjawab atas kejayaan @WongKukui tampil dengan beberapa cadangan bagi menyelesaikan masalah tersebut.

Menurutnya, kerajaan di bawah pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim perlu mengenal pasti punca di sebalik semua masalah berbangkit.

"Kerajaan kena turun padang dan lihat sendiri kekurangan dihadapi penduduk khususnya di kawasan pedalaman kerana mereka tiada akses untuk bantuan guaman.

"Kalau nak harapkan proses pendaftaran di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), memang akan lambat kerana mereka tiada kemudahan pengangkutan dan capaian internet untuk menerima maklumat atas talian.

"Jadi kerajaan perlu menggerakkan guaman di Malaysia ke setiap kawasan terpencil yang berhadapan dengan isu ketiadaan pengenalan diri," katanya kepada Majoriti.

haijan

Peguam Haijan Omar (kiri) merupakan antara individu yang tampil membantu rakyat di pedalaman Borneo mendapatkan MyKad. — Awani

Jelasnya lagi, mahkamah dalam negara sebelum ini pernah mempraktikkan cara itu dengan saranan kerajaan terdahulu yang meminta peguam dan hakim untuk turun ke lokasi bagi membantu mereka yang terkesan.

Ketiadaan akses guaman menjadi punca mengapa ramai penduduk masih tergantung status kewarganegaraan mereka, di samping taraf pendidikan yang rendah juga menyumbang kepada isu terbabit.

"Jangan hanya bergantung kepada sistem JPN dan proses perlembagaan, sudahnya rakyat yang menjadi mangsa dalam hal ini.

"Di samping itu, badan guaman di Borneo juga perlu berani menyuarakan pendapat berkaitan isu tersebut kerana semua sudah maklum akan hal tersebut," jelasnya.

Terbaharu, Anwar Ibrahim dikhabarkan akan mempersembahkan cadangan pindaan Perlembagaan Persekutuan kepada Majlis Raja-Raja dalam masa terdekat dalam usaha menyelesaikan isu kewarganegaraan anak bagi wanita rakyat Malaysia dan pasangan warga asing, yang lahir di luar negara.

Perkara itu bertujuan bagi membolehkan ibu warganegara Malaysia untuk mendapatkan hak seadilnya mengikut Perlembagaan Persekutuan.

Tidak menolak sebarang cadangan mahupun usaha beliau dalam membawa isu hak kewarganegaraan bagi individu di luar negara, namun fokus utama seharusnya ditumpukan kepada rakyat yang sememangnya dilahirkan di negara ini. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram