[VIDEO] Parking turun barang runcit, penunggang motosikal maut rempuh belakang lori di Kluang


  • 112
  • Selasa, 11 Jul 2023

Seorang penunggang motosikal maut dalam insiden kemalangan di Jalan Kluang-Teck Wah Hing, Kluang, Johor.

SEORANG penunggang motosikal dilaporkan maut dalam satu insiden yang berlaku di Jalan Kluang-Teck Wah Hing, Kluang, Johor pada Selasa.

Ketika kejadian, penunggang lelaki terbabit dirakam merempuh belakang sebuah lori yang berhenti untuk menghantar barang di sebuah premis kedai berhampiran kawasan berkenaan.

Gagal mengelak, mangsa kemudiannya merempuh kenderaan putih tersebut dan dilaporkan meninggal dunia selepas dibawa ke hospital.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata, kejadian berlaku pada pukul 10.07 pagi itu melibatkan mangsa warga tempatan yang menunggang motosikal Yamaha LC dan lori jenis Hino.

"Hasil siasatan awal mendapati, motosikal dan lori tersebut datang dari arah sama iaitu dari bandar Kluang menghala ke Renggam.

"Tiba di tempat kejadian, lori itu berhenti untuk masuk ke persimpangan di sebelah kiri yang jalannya menuruni bukit.

"Tiba-tiba motosikal mangsa yang datang dari arah belakang tidak sempat mengelak dan menyebabkannya melanggar belakang sebelah kanan lori terbabit," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Beliau berkata, penunggang motosikal berusia awal 30 an berkenaan mengalami cedera parah di bahagian badan dan telah meninggal dunia di Hospital Enche' Besar Hajjah Kalsom (HEBHK) Kluang.

"Pemandu lori yang juga merupakan warga tempatan, berusia awal 20 an, tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya.

Dalam pada itu, Polis Daerah Kluang menasihati agar pengguna jalan raya sentiasa berhati-hati dan bertimbang rasa supaya tidak berlaku kejadian tidak diingini. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram