Bojan: 40 minit dalam separuh kedua, itulah sebenarnya kami


  • Podium
  • Selasa, 04 Jul 2023

Aksi pemain KL City FC ketika bertemu JDT dalam saingan Liga Super yang menyaksikan skuad The City Boys tewas 1-6. — Facebook/ Johor Southern Tigers

NUKILAN Laptop Cabuk menemui pembaca lagi. Berinspirasikan minda tua yang mungkin sudah berkarat, karya ini dan seterusnya akan cuba menyingkap cerita di sebalik tabir dan sesuatu yang mungkin terlepas daripada pengamatan ramai untuk sama-sama memeriah dan meraikan Liga Malaysia musim 2023.

MUAK dengan segala cakap-cakap pertemuan Johor Darul Takzim (JDT) - Kuala Lumpur City (KLC) FC malam tadi adalah bayangan atau raptai penuh final Piala FA pada 22 Julai, Bojan Hodak memilih untuk mengeyakan saja pandangan berkenaan.

Pada ketua jurulatih The City Boys itu, pandangan sedemikian hanya dapat dipersalahkan kepada pemain-pemainnya sendiri kerana merelakan tuan rumah di Stadium Sultan Ibrahim (SSI), Iskandar Puteri, Johor itu bermaharajalela dengan kemenangan besar 6-1 mereka.

Menolak tentangan longlai mereka sebagai satu ‘muslihat’ untuk tidak mendedahkan permainan sebenar, dia masih berharap satu persembahan berbeza dapat ditampilkan pemain-pemainnya apabila piala, dan bukan sekadar tiga mata, yang menjadi rebutan nanti.

“Saya tidak punya apa-apa untuk menyanggahnya jika itu pendapat mereka. Saya tak mampu untuk menutup mulut ramai. Lagipun, apabila kami bolos enam gol, sesiapa pun bebas untuk berkata apa saja,” kongsinya dengan Laptop Cabuk.

Bojan kecewa kerana menganggap pemainnya tiada langsung usaha untuk menekan lawan. — Facebook

Sebelum perlawanan itu, Bojan mencabar pemain-pemainnya agar menutup mulut pengkritik yang meramalkan kekalahan besar kepada JDT, dengan menjadikan kesungguhan dan keberanian Azim Al-Amin Kamaruddin yang diangkat daripada penjaga gol simpanan kepada pilihan nombor satu, sebagai inspirasi.

Turut dicabarnya ialah agar pemain-pemainnya bersaing menuntut tempat kesebelasan pertama dalam final Piala FA dengan persembahan mengagumkan di sarang Harimau Selatan itu.

Cabarannya tidak bersahut apabila skuad Warga Kota itu mempertonton permainan lembik hingga Azim kesudahannya terpaksa mengutip bola dari dalam pintu golnya sebanyak enam kali – daripada hatrik Diogo Luis Santo dan selebihnya jaringan Arif Aiman Hanapi, Akhyar Rashid dan Safiq Rahim.

“Saya sudah katakan sebelum perlawanan bahawa kami akan ketiadaan lima pemain (Giancarlo Gallifuoco, Sebastian Avanzini dan Ryan Lambert digantung manakala Declan Lambert dan Mendoza belum pulih).

“Tapi itu saja tidak cukup untuk menjadi alasan terhadap persembahan buruk kami dalam separuh masa pertama.

“Saya tidak tahu apa puncanya tapi kami tidak langsung agresif, tiada langsung usaha untuk menekan lawan. Ia seolah-olah kami bermain dalam satu perlawanan persahabatan dan bukannya perlawanan liga,” katanya.

ISKANDAR PUTERI, 3 Julai -- Pemain JDT Muhammad Akhyar Abdul Rashid (tengah) diasak pemain Kuala Lumpur City Fc Matko Zirdum (dua, kiri), pada perlawanan Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim hari ini. 

Keputusan penuh JDT 6-1 Kuala Lumpur City Fc.
--fotoBERNAMA (2023) HAK CIPTA TERPELIHARA

Akhyar Rasyid dikawal ketat pemain-pemain The City Boys. — Facebook/JohorSouthernTigers

Membuka akaun jaringan selepas hanya 12 minit menerusi Diogo, JDT hanya memerlukan seminit untuk menggandakannya hasil sentuhan Arif Aiman dan selebihnya terserah semula kepada penyerang kelahiran Brazil itu untuk melengkapkan hatriknya pada minit ke-35 dan 44 bagi tuan rumah menutup separuh pertama dengan kedudukan 4-0.

“Dua gol pertama yang pantas itu meruntuhkan semangat pasukan, yang apa saja dilakukan serba tak kena tapi saya memang tak boleh terima gol kedua dan keempat (melalui Arif Aiman dan Diogo).

“Kami bermain seperti budak sekolah. Mungkin sesetengah pemain saya sudah memikirkan final (Piala FA lebih sedikit daripada dua minggu lagi),” katanya.

Keseluruhannya, kata Bojan sebagai kesimpulan, ia bukanlah satu malam yang bagus melainkan mereka harus menerima pengajaran daripada permainan sendiri yang tidak konsisten di samping JDT – pasukan yang disifatkan ketua jurulatih itu sebagai berbajet 10 kali ganda lebih besar – tidak mudah untuk digoyahkan.

ISKANDAR PUTERI, 3 Julai -- Pemain JDT Arif Aiman Mohd Hanapi (kiri) meraikan jaringan kedua ketika menentang Kuala Lumpur City Fc pada perlawanan Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim hari ini. Keputusan semasa JDT 4-1 Kuala Lumpur City Fc--fotoBERNAMA (2023) HAK CIPTA TERPELIHARA

Arif Aiman turut mencetak nama sebagai penjaring Harimau Selatan. — Facebook/JohorSouthernTigers

Ditanya apakah segala perancangannya sebelum perlawanan itu akhirnya memakan diri, Bojan menawarkan alasan berikut: “Apa yang dirancang hendaklah dilaksanakan di dalam permainan. Tapi kami melakukan hanya 50 peratus daripada perancangan.

“Beberapa pemain saya tidak pun mencapai tahap yang diperlukan untuk perlawanan berintensiti tinggi seperti ini.

“Pasukan lain mungkin memberi kami masa dan ruang tapi bukan JDT. Mereka segera menutup ruang, cepat memenangi semula bola setiap kali kehilangannya dan cukup pantas untuk melancarkan serangan.”

Bojan juga enggan menjadikan alasan ketiadaan Gallifuoco yang berganding baik dengan Matko Zirdum di bek tengah ketika menutup ruang kepada Terengganu FC dalam separuh akhir Piala FA pada 25 Jun sebagai memudahkan tugas Harimau Selatan itu.

Barangkali, katanya, kehadirannya mampu mengukuhkan pertahanan tapi pada masa yang sama, Kenny Palraj yang ditampilkan sebagai pengganti turut beraksi baik.

357526639_839174294245215_9067529119341187230_n

JDT mencatat kemenangan 6-1 ke atas KL City. — Facebook/JohorSouthernTigers

“Apa yang boleh saya katakan, bertentangan dengan pendapat ramai, perlawanan malam tadi (Isnin) bukanlah bayangan kepada final.

“Jika saya diberi pilihan, saya tidak kisah kalah perlawanan malam tadi jika dibandingkan dengan final kerana anda tidak punya peluang kedua.

“Final nanti akan jadi perlawanan yang sama sekali berbeza,” ujarnya.

Peluang kedua yang dimaksudkannya ialah perlawanan liga seterusnya berdepan Terengganu FC (7Julai) dan Negeri Sembilan FC (15 Julai), kedua-duanya di tempat sendiri, untuk mengasah taji di samping menilai calon kesebelasan utama untuk detik kemuncak itu nanti.

Bojan menyimpulkan perubahan dalam separuh kedua yang menyaksikan mereka dapat membendung JDT daripada menambah jaringan. — Facebook/ KL City

Kalau pun ada sedikit sagu hati yang dapat dibawa pulang dari SSI, Bojan menyimpulkan perubahan dalam separuh kedua yang menyaksikan mereka dapat membendung JDT daripada menambah jaringan dalam tempoh 40 minit selepas pengenalan Paulo Josue dan Patrick Reichelt, sebagai sesuatu yang positif.

“Dalam tempoh itu juga yang menjadi cerminan sebenar Kuala Lumpur FC, kami menjadi pasukan pertama yang dapat menembusi pintu gol mereka daripada permainan terbuka (menerusi Zirdum pada minit ke-54).

“Cuma pada limit terakhir apabila pemain kami sudah kepenatan dan hilang fokus, JDT kembali dengan dua gol lewat.

"Pada penghujungnya, pemain-pemain saya sedar yang kami tidak cukup bagus.

“Semua pemain berasa kecewa kerana dimalukan, sedar kesilapan masing-masing dan jika semua belajar daripadanya, saya hanya dapat harapkan kami akan lebih baik dalam dua setengah minggu lagi," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram