NUKILAN Laptop Cabuk menemui pembaca lagi. Berinspirasikan minda tua yang mungkin sudah berkarat, karya ini dan seterusnya akan cuba menyingkap cerita di sebalik tabir dan sesuatu yang mungkin terlepas daripada pengamatan ramai untuk sama-sama memeriah dan meraikan Liga Malaysia musim 2023.
GEMAR berjenaka, Tomislav Steinbruckner menawarkan satu penyelesaian bagi menghindarkan ‘ketidakadilan’ dalam perlawanan akhir Piala FA yang sudah ditetapkan di Stadium Sultan Ibrahim (SSI), Iskandar Puteri, Johor pada 22 Julai nanti.
Pada ketua jurulatih Terengganu FC itu, pertemuan skuad Sang Penyu dan Selangor FC dalam final itu akan mengangkat status SSI sebagai venue berkecuali, berbanding ia memberi kelebihan kepada pasukan tuan rumah, Johor Darul Takzim (JDT), jika Harimau Selatan terus mara sekali lagi.
JDT adalah juara bertahan Piala FA selepas kejayaan menundukkan Terengganu FC 3-1 hasil jaringan Arif Aiman Hanapi (m-34) dan Bergson Da Silva (pen m-61, 77) dalam final di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) pada 10 September tahun lalu -- selepas kali terakhir menjulangnya pada 2016.
“Ini cuma satu gurauan. Jangan sampai saya disalahertikan hingga dihentam teruk. Kita semua tahu Johor akan jadi venue final kerana Stadium Nasional tak boleh digunakan.
“Jadi, mengapa tidak Terengganu dan Selangor yang beraksi dalam final?” katanya kepada Laptop Cabuk.
Terdahulu, Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) dalam satu kenyataan pada 1 Jun lalu memaklumkan bahawa pemilihan SSI dibuat selepas mengambil kira perkembangan semasa SNBJ yang tidak boleh digunakan bagi final Piala FA 2023 yang dijadualkan pada 22 Julai 2023.
SNBJ ditutup sementara bagi memberi laluan proses penukaran rumput yang dijangka siap pada Oktober 2023. — Facebook/JDT
MFL juga mengesahkan hanya menerima bidaan daripada JDT untuk menjadikan SSI sebagai venue final Piala FA 2023 selepas proses bidaan terbuka yang ditawarkan, ditutup pada 24 Mei 2023 pukul 5.00 petang.
Dalam proses bidaan, MFL menyediakan 11 bidang pematuhan utama dan antara sub-kriteria kelayakan venue adalah seperti sokongan kerajaan tempatan serta pihak berkuasa dan keselamatan tempatan, kesediaan stadium dan fasiliti sedia ada untuk menganjurkan perlawanan akhir berskala besar dengan kemudahan teknikal dan operasi yang sesuai.
Tidak diketahui mengapa Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA), Kuala Terengganu – gelanggang perlawanan antarabangsa Tier 1 di antara Harimau Malaya dan Kepulauan Solomon pada 14 Jun lalu dan pertarungan kedua dengan Papua New Guinea pada 20 Jun – tidak disertakan dalam bidaan itu.
Steinbruckner atau ringkasnya Tomi, dalam pada menjelaskan dia tidak menyimpan sebarang rasa iri hati terhadap JDT, yang akan melakukan perhitungan dengan Selangor FC dalam satu lagi separuh akhir pada 26 Jun, berkata apa saja yang dirasakan tidak berkemungkinan, boleh berlaku dalam bola sepak.
Namun, katanya, pasukannya harus lebih dahulu menyingkirkan Kuala Lumpur City FC (KLC FC) – yang dikendalikan sahabat baik dan rakan senegaranya, Bojan Hodak -- di SSMZA, Ahad ini, untuk sebahagian gurauannya itu menjadi kenyataan.
Skuad Penyu akan melayan kunjung pasukan Warga Kota pada Ahad ini. — Facebook/TFC
“Saya tahu sahabat baik saya Bojan tidak akan bersetuju dengan ini kerana seperti saya, dia juga mahu pasukannya mara ke final.
“Kami juga sebenarnya sependapat bahawa saingan piala menawarkan lebih peluang untuk mendakap sekurang-kurangnya satu trofi musim ini.
“Ini kerana saingan liga kelihatan akan terus didominasi oleh JDT,” katanya merujuk kepada kedudukan KLC FC di tangga keenam manakala Terengganu FC ketujuh, dengan kedua-dua pasukan dibezakan hanya tiga mata selepas 14 perlawanan.
“Untuk pertemuan ini (separuh akhir Piala FA), kami akan ketepikan sementara persahabatan dan biarlah pasukan yang lebih berhak meraih tempat dalam final.
“Saya harap biarlah ia Terengganu FC dan Selangor pula menang satu lagi separuh akhir untuk kami berentap menentukan juara,” katanya.
Tomi mengakui ia, bagaimanapun, di luar kawalannya kerana pertemuan separuh akhir JDT-Selangor FC itu akan berlangsung di SSI, yang dianggap kuburan bagi mana-mana pasukan pelawat di samping tuan rumah itu hanya bolos satu gol di sana.
JDT akan menentang Selangor FC bagi aksi pertemuan separuh akhir Piala FA di SSI pada 26 Jun. — Bernama
“Tapi saingan kalah mati berbeza dengan liga yang meluangkan banyak perlawanan untuk mengutip mata.
“Dalam perlawanan kalah mati, pasukan lazimnya akan berhabis-habisan dan dengan bantuan sedikit tuah, keputusan mengejut boleh berlaku,” ujarnya.
Dibandingkan dengan Selangor FC, Terengganu FC harus lebih bertuah kerana rekod perlawanan lalu menunjukkan skuad Sang Penyu itu seakan-akan kebal terhadap ancaman KLC FC sejak beberapa musim kebelakangan.
Menurut rekod Soccerway, KLC FC tidak pernah menang ke atas Terengganu FC di tempat lawan sejak 2018, dengan pertemuan terbaru di antara kedua-dua pasukan dalam Liga Super pada 5 Mac lalu berkesudahan 0-0.
Malah, kali terakhir skuad Warga Kota itu membawa pulang tiga mata dari Kuala Terengganu ialah daripada aksi Piala Malaysia yang berkesudahan 3-2 pada 15 September 2018.
Dalam nada tidak bergurau, Steinbruckner tetap menghormati pasukan lawan itu yang dianggapnya memiliki jentera penggempur lebih baik ketika pemain seperti Tchetche Kipre dan pakar sepakan bebas, Paulo Josue, berganding baik untuk menghasilkan jaringan.
Kipre sebelum ini beraksi bersama pasukan Terengganu pada musim 2021-2022. — Facebook/KLCity
Kedua-duanya turut menyumbang jaringan dalam dua perlawanan terakhir – Kipre dan Josue masing-masing satu gol ketika menundukkan Sri Pahang 2-1 pada 4 Jun manakala Kipre satu gol lagi ketika seri 1-1 dengan Penang FC pada 8 Jun.
“Tapi fokus dan persiapan kami ketika ini ialah untuk menempah tempat dalam final Piala FA, sama seperti musim lalu (ketika di bawah kendalian Nafuzi Zain).
“Jika kami mampu mengulangi persembahan baik seperti ketika kami menyaingi JDT dalam perlawanan terakhir (sebelum semangat mereka direntap dua kad merah dan tewas 1-3), saya percaya kami berpeluang cerah untuk ke final,” kata Tomi lagi. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram