Alahai, 3 sebab import kacukan Iran-Filipina dianggap barah dalam skuad Sang Penyu


  • Podium
  • Selasa, 04 Jul 2023

Penyertaan Omid Nazari ke TFC sebelum ini pernah dilabel penyokong sebagai pembelian panik. — Facebook/TFC

OMID Nazari bukanlah nama yang asing dalam kancah Liga M apabila sebelum ini dia pernah beraksi selama semusim bersama Melaka United pada 2017 sebelum memutuskan untuk beraksi di Filipina dengan menyertai Ceres-Negros FC.

Pada musim lepas pula, pemain berusia 32 tahun itu kembali lagi ke Liga M dengan menyertai Negeri Sembilan FC (NSFC) dan beraksi dalam 25 penampilan bersama skuad Jang, selain menjaringkan dua jaringan buat pasukan itu.

Penghijrahan pemain kacukan Iran-Filipina, Omid ke Terengganu FC (TFC) sebelum ini diharapkan dapat membantu memperkukuh pasukan bagi saingan Liga Malaysia (Liga M) musim 2023.

Bagaimanapun, kemasukan pemain berketinggian 1.84 meter itu ke skuad Penyu mendapat respons yang kurang memberangsangkan daripada penyokong kerana mereka berpendapat pihak pengurusan membuat keputusan terburu-buru untuk membeli Omid di saat-saat genting.

Malah, sehingga ke hari ini, rata-rata penyokong masih lagi mempertikaikan peranannya dalam pasukan.

Bukan sahaja tiada peningkatan yang dipamerkan, dia juga dikhuatiri akan memberikan impak lebih buruk dalam pasukan kendalian Tomislav Steinbruckner sekiranya masih dikekalkan di TFC.

Berikut Majoriti senaraikan tiga sebab mengapa Omid boleh dianggap sebagai barah dalam skuad Penyu:

1. Hanya tampil tiga aksi sepanjang 15 perlawanan

Omid (kanan) menandatangani kontrak setahun bagi kuota Asean menggantikan Woodland yang digugurkan Sang Penyu musim ini. — Instagram/Omid

Omid hanya diturunkan sebanyak tiga kali sahaja sepanjang 15 perlawanan Liga Super musim ini iaitu ketika menentang Kuala Lumpur City FC (KL City FC), Sabah FC dan Penang FC.

Selain itu, kurangnya minit permainan dalam saingan liga menyebabkan dia dikritik hebat oleh penyokong tegar pasukan Pantai Timur itu.

Ada yang turut beranggapan kehadirannya ke kelab itu hanyalah semata-mata untuk melengkapkan senarai skuad TFC musim ini.

2. Tiada impak pada pasukan

TFC masih bergelut mencari rentak meskipun sudah mengharungi tiga perlawanan. — Facebook

Omid dilihat kurang menyerlah dalam setiap perlawanan yang disertainya, tidak kurang juga yang mempersoalkan apa bentuk kelebihan yang dimiliknya.

Dia juga berdepan masalah untuk mencari keserasian dengan rakan sepasukan, lebih-lebih lagi di posisi tengah, dengan Habib Haroon, Liridon Krasniqi atau Domagoj Pusic sering diletakkan di bahagian berkenaan.

Tahap permainan kurang meyakinkan yang dipamerkan pemain import itu jelas mencemaskan para penyokong.

“Berapa minit saja dia main? Bila main, apa impak dia kepada pasukan? Takut pegang bola, takut nak masuk attacking mode, apa yang lebih dia ni?

“Sebab pilihan CEO ke? Nak tunjuk gah kata kita boleh sign lapan hingga sembilan import juga? Bila ego menguasai diri rasa diri untouchable!” tulis seorang pengguna Facebook, Radhie Mrad.

3. Pembelian yang membazir

Kualiti Omid Nazari (kiri) dianggap jauh lebih rendah berbanding pemain tempatan. — Facebook

Daripada berhabis duit ke atas import yang tidak menyumbang kepada pasukan, adalah lebih baik sekiranya TFC merekrut pemain lain yang dirasakan lebih berbaloi.

Kebanyakan penyokong juga mengharapkan agar pihak pengurusan mempertimbangkan untuk melepaskan Omid sekiranya dia tiada peningkatan dan masih mengekalkan momentum yang sama.

“Baiklah bayar gaji Faisal Halim daripada bela beban dunia,” kata Ahmad Bukhari.

“Tiada keperluan pun sign player ni. Siapa yang bertanggungjawab tambah kuota import?” soal InfoZon Tgg.

“Membazir sahaja, baik cari striker ganas seorang,” kata Wan Faez.

“Musim lepas main dengan Negeri Sembilan FC pun hancur, itu pelik kenapa TFC sign. Memang ejen di Malaysia seorang sahaja ke? Player pusing-pusing saja dalam liga kita ni,” ujar Faizal Osman. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram