MASALAH dalaman yang timbul dalam pasukan Kelantan FC menyebabkan ramai pemain membuat keputusan untuk meninggalkan kelab itu dengan sebahagian menamatkan kontrak lebih awal dengan pasukan dari Pantai Timur itu.
Bukan itu sahaja, kepercayaan penyokong Kelantan FC terhadap pemilik kelab itu, Norizam Tukiman yang lebih dikenali sebagai Zamsaham juga semakin pudar susulan masalah dalaman yang menyelubungi pasukan berkenaan sejak pemecatan bekas jurulatih, Choi Moon-sik sehingga ke isu gaji.
Namun begitu, salah satu media tempatan baru-baru ini memberi bayangan seolah-olah kelab itu bakal menerima masuk kehadiran pemilik baharu tidak lama lagi.
Antara yang disebut-sebut bakal mengambil alih pemilikan itu ialah Datuk Seri Dr Hasmiza Othman atau mesra dipanggil Datuk Seri Vida (DSV).
Bercakap kepada Majoriti, Pegawai Eksekutif Vida Beauty Sdn Bhd yang juga bekas penaja pasukan skuad The Red Warriors (TRW) tersebut terbuka untuk kembali menaja Kelantan jika bersesuaian dengan syaratnya.
DSV dilihat sesuai untuk menguruskan TRW berdasarkan pengalaman mengendalikan kelab itu sebelum ini.
Menurut DSV, beliau telah menghantar surat kepada Norizam Tukiman atau Zamsaham mengenai perbincangan kelab itu.
“Surat pindaan sekarang tengah tunggu jawapan daripada pengurusan Kelantan berkenaan tarikh, masa dan tempat.
“Kita tunggu Zamsaham bagi tarikh pertemuan yang akan diadakan," kongsinya.
Meskipun ahli perniagaan popular itu pernah berada dalam tampuk pengurusan skuad Pantai Timur dalam tempoh dua musim, rata-rata peminat menyuarakan kebimbangan mereka sekiranya dia sekali lagi diberi peluang untuk mengambil alih Kelantan FC dalam masa terdekat.
Berikut Majoriti senaraikan tiga sebab mengapa penyokong tegar TRW menyifatkan tindakan membawa kembali DSV bukan satu idea yang bernas:
1. Kehadiran DSV didakwa hanya sebagai satu langkah pemasaran

Sekiranya Kelantan menjadi milik Vida semula, Kacak akan menjadi individu yang akan menjadi penaung pasukan itu. — Instagram/Vida
Terdapat pandangan daripada peminat yang menyatakan bahawa kehadiran Vida tidak lebih daripada satu strategi pemasaran semata-mata.
Lebih membimbangkan, pemilik jenama kosmetik ternama tersebut berhasrat untuk meletakkan anak lelakinya, Kacak atau nama sebenarnya, Muhammad Eric Zecquan Mohd Amin sebagai pengurus kelab TRW.
Malah, remaja berusia 16 tahun itu sebelum ini mencuri perhatian media tempatan apabila dia menyatakan hasrat untuk bergelar seorang pemain bola sepak.
Penyokong merasakan adalah lebih baik sekiranya pasukan itu dijual kepada individu yang berpengalaman dan mahir selok-belok pengurusan bola sepak.
"Elok jual kepada individu yang faham, minat, tahu selok-belok pengurusan bola sepak, boleh beri komitmen kewangan 100 peratus, tidak mengharapkan pulangan yang cepat, takut berulang masalah," kata Chairil Anuwar Osman.
"Penasihat Datuk Seri Vida kena buat rundingan sudah psati mana-mana pihak yang berminat tidak mahu kerugian. Ini spesis nak glamour, akhirnya budak-budak bola yang kelaparan," kata Ab Aziz Talib.
"Dia tidak ada pengalaman tentang bola, cuma dia ada duit sahaja dan mahukan nama saja," ujar Jusoh Bakar.
2. Fans bimbang TRW diuruskan mengikut 'demand' DSV

Vida bersama barisan pemain Kelantan pada musim 2016. — Facebook
Penyokong tegar meluahkan kebimbangan, seandainya wanita kelahiran Machang, Kelantan itu mengambil alih pengurusan pasukan selepas ini, setiap pergerakan kelab itu akan diuruskan mengikut kehendaknya.
Misalnya, sebelum ini apabila dia menjadi penaja utama Kelantan FC, langkah pertama kepada transformasi pasukan itu adalah pertukaran jersi The Red Warrior kepada warna merah jambu.
Pada tahun 2016, Dr Vida menetapkan dua syarat terhadap Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) sebelum bersedia menaja pasukan itu untuk menghadapi saingan Liga Malaysia musim berkenaan.
Dua syarat tersebut termasuk perubahan warna Stadium Sultan Muhammad IV kepada merah jambu, sementara nama The Red Warrior ditukar menjadi Pamoga Qu Puteh The Red Warriors.
Bagaimanapun seperti diduga, syarat tersebut mendapat kritikan hebat dalam kalangan penyokong pasukan itu yang menyifatkan ia tidak sesuai dengan imej garang Kelantan.
"Bola sepak ni fokus kepada lelaki, selagi pemilik berjiwa feminis, DSV mungkin tidak mampu nak faham seni lenggok bicara lelaki dalam bola," tulis Al-Khattab.
"Sudah ada rekod teruk pun ambil lagi, peninglah. Macam mana nak maju sukan untuk negara," kata Zikry66.
"Sebelum nak bawa masuk pemain import bertaraf bintang, (lihat dulu) fasiliti dah bertaraf bintang atau tidak? Selesaikan gaji (perkara) nombor dua? Lepas itu, stadium cat semula warna pink," tulis Muhammad Najib Mahmoor.
3. Risau episod lama kembali

Vida telah menghantar surat kepada Zamsaham mengenai perbincangan kelab itu. — Facebook/Kelantan FC
Rata-rata penyokong juga khuatir sekiranya masalah lama berulang kembali.
Masalah yang timbul seperti isu kewangan juga sepertinya sukar untuk diselesaikan meskipun pelantun lagu Lavida Go Bola itu berhasil mengambil semula Kelantan daripada Zamsaham.
Mana tidaknya, hutang Kelantan FC kini difahamkan mencecah jutaan ringgit dan sekalipun DSV mempunyai dana untuk melangsaikan beban tersebut, penyokong masih menzahirkan kebimbangan sama ada usahawan selebriti itu masih mampu untuk membiayai kelab TRW.
Apatah lagi sebelum ini dilaporkan, pada awalnya Vida berhasrat untuk menaja kelab itu selama dua musim, iaitu pada awal musim 2016 hingga 2017, namun pada penghujung tahun pertamanya menaja, dia memaklumkan tidak akan memberi dana kepada Kelantan bagi musim berikutnya.
Difahamkan, masalah prestasi yang membelenggu TRW menyebabkan dia menarik diri daripada menjadi penaja utama Kelantan dan menganggap pelaburannya tidak membuahkan hasil. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram
