Lulus ujian pertama, 3 skil 'enjin' baharu Kedah pikat hati fans Sang Kenari


  • Podium
  • Isnin, 10 Jul 2023

Moses Atede meraih pujian penyokong susulan aksi memukau dipamerkan bersama Kedah FC. — Facebook/Kedah FC

KEMASUKAN Moses Atede yang didaftarkan sebagai pemain tengah bertahan import baharu Kedah FC, dilihat mula menunjukkan hasil positif dengan pasukan itu berjaya memperoleh kemenangan pada saingan ke-16 Liga Super pada Ahad.

Dua jaringan di lewat permainan separuh masa kedua cukup untuk memberikan keceriaan buat penyokong Sang Kenari apabila anak-anak buah Nafuzi Zain menewaskan skuad PDRM FC dengan keputusan 2-0 di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ).

Gol itu terhasil menerusi dua sepakan penalti import baharu Kedah, Ifedayo Olusegun pada minit ke-81 dan Lee Tuck (90).

Namun, paling mencuri tumpuan adalah kelibat Moses Atede yang dikatakan menjadi tonggak utama skuad Sang Kenari pada pertemuan itu yang menyaksikan dia disenaraikan dalam kesebelasan utama.

Lulus dalam ujian pertama di bawah kendalian Nafuzi Zain, tiga kelebihan dimiliki pemain itu hangat diperkatakan penonton selepas tamat perlawanan.

EIDE

Dua import baharu Kedah berjaya membuktikan kebolehan masing-masing pada perlawanan pertama menentang PDRM FC. — Facebook/KedahFC

1. Mudah menyesuaikan diri dengan tekanan

Mempunyai kawalan bola yang kemas dan pantas dalam membuat larian, Moses Atede mempamerkan aksi tenang saat memimpin barisan tengah Kedah menembusi ke benteng pertahanan lawan.

Meskipun kali pertama beraksi bersama, pemain itu berjaya membentuk gandingan serasi dengan dua lagi penyerang sensasi iaitu Manuel Hidalgo dan Al-Hafiz di bahagian kanan dan kiri pasukan.

Pemain kelahiran Nigeria itu juga rajin dalam membuat larian ketika membantu kubu pertahanan yang menyaksikan Kedah terselamat daripada beberapa percubaan penyerang PDRM.

2. Hantaran tajam

Tampil dengan aksi memukau menerusi hantaran menarik yang tepat ke arah rakan sepasukan, tempoh permainan banyak bergantung kepada kelibat pemain tersebut yang kerap kali mengucar-kacirkan kubu pertahanan lawan.

Hantaran pendek yang kemas serta sukar dibaca pemain PDRM menjadi salah satu resipi kejayaan Kedah pada perlawanan tersebut.

Gandingan yang terbentuk bersama Manuel Ott juga hangat diperkatakan penyokong dengan kehadiran kedua-dua pemain itu mula menjadi sandaran pasukan menjelang perlawanan berikutnya nanti.

Kerap berbalas hantaran sehingga berjaya memecahkan benteng pertahanan lawan, 'enjin' Kedah dikatakan semakin rancak dengan keserasian serta kelebihan dimiliki pemain berkenaan.

3. Gaya permainan tenang

Mampu menyerap segala taktikal serta perancangan ditetapkan Nafuzi Zain dalam tempoh 90 minit di atas padang, Moses Atede tampil dalam kelas tersendiri apabila berjaya menyerap tekanan tatkala diserang.

Ditambah pula dengan kebuntuan pasukan dalam memburu jaringan di separuh masa pertama, import baharu itu dilihat semakin rancak sebaik perlawanan menuju ke penghujung permainan.

Dominasi jentera tengah Kedah menerusi kelincahan Moses Atede membuahkan hasil pada minit ke-80 selepas hantaran lintang Lee Tuck terkena tangan pertahanan PDRM, James Okwuosa sekali gus mudah disudahkan Ifedayo untuk gol pertama Sang Kenari.

Perlawanan berikutnya bakal menemukan kelab itu dan Kelantan United FC pada 14 Julai di Stadium Darul Aman, Kedah, dengan tiga mata penuh pasti menjadi keutamaan pasukan tuan rumah.

Lulus ujian pertama bersama Kedah, perlawanan seterusnya juga bakal menjadi medan uji terbaik untuk melihat sejauh manakah potensi serta konsistensi Moses Atede kekal pada tahap terbaik sepanjang bersama Sang Kenari. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram