[VIDEO] Tuntut hasil ladang, ratusan penduduk merusuh hancurkan kereta, pejabat syarikat perladangan di Kalimantan


  • Benua
  • Isnin, 10 Jul 2023

Tangkap layar penduduk di perkampungan Seruyan Tengah, Kabupaten Seruyan, Kalimantan Tengah, Indonesia menjalankan rusuhan terhadap sebuah syarikat perladangan.

RATUSAN penduduk di Kecamatan Seruyan Tengah, Kabupaten Seruyan, Kalimantan Tengah, Indonesia terlibat dalam rusuhan bersenjata apabila menghancurkan beberapa buah kereta dan pejabat syarikat perladangan kelapa sawit di situ pada Jumaat.

Ia susulan ketidakpuasan hati peladang terhadap syarikat berkenaan yang didakwa tidak menepati janji untuk menyerahkan hasil perladangan kepada pemilik tanah di situ.

Ketua Bahagian Perhubungan Awam Polis Daerah Kalimantan Tengah, Pesuruhjaya Tinggi Erlan Munaji mengesahkan perkara tersebut selepas rakaman kejadian itu tular di laman media.

"Situasi itu berlaku di ladang kelapa sawit milik PT BJAP dan mereka yang terlibat menuntut hasil ladang sebanyak 20 peratus dari syarikat berkenaan.

"Mereka tidak berpuas hati dan tiada siapa pun yang tampil menjelaskan peraturan sekali gus menyebabkan ketua perkhidmatan pertanian di kawasan berkenaan bertindak ganas," katanya.

Namun, tiada sebarang kecederaan dilaporkan berlaku dengan semua pihak yang terlibat telah pulang ke rumah masing-masing selepas pihak berkuasa mengawal keadaan dan menyelesaikan isu itu dengan baik.

Mengulas lanjut hal itu, Erlan Munaji berkata, pihaknya akan menjalankan siasatan dan mengkaji semula perkembangan kes terbabit.

"Pada masa akan datang, sudah tentu kita akan mengemas kini semula segala maklumat diperoleh dan buat sementara waktu, kami masih menjalankan penyelarasan untuk menangani kemarahan masyarakat setempat," ujarnya.

Dalam pada itu, Pengarah Eksekutif Wilayah Indonesia untuk Alam Sekitar (Walhi), Kalimantan Tengah, Bayu Herinata berkata, pihak syarikat terbabit perlu berhati-hati dalam melaksanakan dasar dan janji yang dibuat.

"Jika dilihat secara umum, kebanyakan syarikat di Kalimantan Tengah tidak merealisasikan janji mereka terhadap masyarakat setempat meskipun kerja-kerja perladangan sudah dimulakan," katanya. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram