PASUKAN Selangor FC akhirnya melengkapkan kuota sembilan pemain importnya apabila mengumumkan pemain kebangsaan Ghana, Richmond Boakye-Yiadom sebagai jentera serangan terbaharu skuad itu.
Pemain berusia 30 tahun berkenaan memiliki pengalaman luas di Liga Eropah apabila pernah menyarung jersi Atalanta FC dan Elche FC di Liga Sepanyol serta Red Star Belgrade selain turut berkelana ke China untuk bersama Jiangsu Suning FC pada 2018.
Di saingan antarabangsa pula, Richmond Boakye-Yiadom mencatatkan 19 penampilan antarabangsa yang menyaksikan beliau beraksi pada dua perlawanan kelayakan sehingga Ghana layak ke Piala Dunia 2022 di Qatar.
Dengan kehadirannya di pasukan Gergasi Merah, penonton melihat ia sebagai pembelian berbaloi dibuat oleh pengurusan Selangor yang sekali gus menjadikan pemain itu sebagai sandaran utama menjelang Kejohanan Piala Malaysia nanti.
Namun, di sebalik pengalaman serta latar belakang cemerlang dimiliki Boakye, pemain berketinggian 1.86 meter itu juga tidak terlepas daripada momen pahit yang pernah terpalit dalam karier bola sepaknya.
Berikut merupakan tiga detik getir yang mungkin boleh dijadikan rujukan penyokong terhadap sejarah penyerang itu sepanjang bergelar pemain profesional.
Richmond Boakye-Yiadom pernah mewakili Red Star Belgrade di Liga 1 Serbia. — Agensi
1. Tunggakan gaji berjumlah RM1.3 juta (250,000 euro)
Boakye sebelum ini pernah terpalit dengan isu tunggakan gaji sebanyak RM1.3 juta bersama bekas pasukannya di Liga 1 Serbia iaitu Red Star Belgrade.
Pemain tersebut meninggalkan kelab gergasi Serbia itu selepas kontraknya tamat pada Disember 2021 bersama hutang yang tertunggak selama enam bulan.
Menerima gelaran 'Bocko' dalam kalangan peminat, Boakye menjaringkan 60 gol dalam 100 penampilannya bersama kelab terbabit.
2. Kekalahan memalukan di Liga Juara-Juara Eropah
Pernah beraksi di saingan Liga Juara-Juara Eropah bersama Red Star Belgrade, perlawanan menentang Bayern Munich FC merupakan antara pengalaman terburuk dilalui pemain itu.
Tewas dengan jaringan 0-6 di perlawanan kedua peringkat kumpulan B, pasukan itu gagal melayakkan diri ke peringkat seterusnya selepas diundi bersama tiga lagi pasukan iaitu Liverpool FC, SSC Napoli FC dan Tottenham FC.
Detik itu boleh dikatakan antara sejarah getir bagi import baharu Selangor itu apabila dia dan rakan sepasukannya dicemuh peminat yang tidak dapat menerima kekalahan tersebut.
3. Peminat merusuh di stadium
Penyerang prolifik Ghana itu pernah terlibat dalam satu tragedi rusuhan ketika mewakili pasukan Red Star Belgrade di saingan Liga Serbia.
Mencatatkan keputusan seri 1-1 dalam pertemuan dengan kelab FK Partizan FC, perlawanan itu berakhir dengan situasi tegang apabila penyokong Partizan membaling suar ke padang yang sekali gus mengakibatkan pergaduhan besar-besaran antara penonton.
Rusuhan itu mengakibatkan seramai 17 orang mengalami kecederaan dengan beberapa daripadanya mengalami luka di bahagian muka dan dikejarkan ke hospital.
Justeru, diharapkan masa depan import Ghana itu akan bertambah baik bersama Selangor dengan tumpuan peminat kini pastinya terarah kepada penyerang berpengalaman tersebut.
Perlawanan seterusnya nanti bakal menjadi medan uji terbaik buat pemain berkenaan dengan Sri Pahang dijangka menjadi pasukan pertama yang akan menguji ketangkasan Boakye. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram