MENJELANG Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 12 Ogos depan, penduduk di enam negeri terlibat khususnya di Selangor sudah mula tampil dengan sokongan terhadap parti masing-masing yang diyakini mampu menjadi kerajaan di negeri terbabit.
Pakatan Harapan (PH) yang sudah mula mengambil alih Selangor sejak 2008 sehingga kini masih mendapat kepercayaan rakyat yang melihat parti itu sebagai pilihan terbaik hingga ke hari ini.
Situasi itu boleh digambarkan menerusi perkongsian video tular di laman Twitter memaparkan seorang wanita yang kekal mempertaruhkan kepercayaan penuh terhadap PH pada PRN nanti.
Optimis dengan kemampuan parti 'bulan sabit' itu di Selangor, individu berkenaan turut mempertikaikan potensi parti lain yang dikatakan cuba untuk merebut kuasa di negeri terbabit.
Antara perkara yang dikupas oleh wanita itu adalah berkenaan isu air yang telah melanda di Selangor sejak sekian lamanya di bawah pemerintahan parti tersebut.
Akur dengan kemelut air yang kerap berlaku selama ini, gadis tersebut walau bagaimanapun masih berpuas hati dengan usaha kerajaan dalam menyelesaikan masalah berkenaan.
"Masalah air di Selangor ini hanya berlaku sekali-sekala bukannya isu harian, punca utama mesti antara pencemaran ataupun masalah perindustrian.
"Tapi saya rasa kalau PAS ambik alih Selangor memang masalah air akan hilang sebab air pun hilang," ujarnya dengan sinis.
Dalam pada itu, gadis terbabit juga turut mempertikaikan kenyataan Menteri Besar Kedah yang mendakwa negeri terbabit akan menjadi lebih maju sekiranya memiliki Kuala Lumpur.
Namun, dia sekali lagi meluahkan keraguannya dengan mengaitkan beberapa kemajuan mampu dicapai di negeri lain dengan pembangunan serta industri import dan eksport yang dijalankan.
Untuk rekod, Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor sebelum ini menyatakan keyakinannya Kedah mampu menjadi negeri paling maju sekiranya ibu negara Kuala Lumpur berada berhampiran mereka.
Muhammad Sanusi yang juga Ketua Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) berkata, Selangor tidak boleh dijadikan model negeri PH paling berjaya hanya kerana kebijaksanaan pimpinannya memerintah.
Sebaliknya, beliau berkata, Selangor hanya menumpang tuah Kuala Lumpur.
Di akhir ucapannya, gadis berkenaan juga memetik parti PAS sebagai kerajaan yang gagal berikutan kemunduran di dua negeri jajahannya iaitu Kelantan dan Terengganu. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram