[VIDEO] Tali 'zipline' rosak, budak 6 tahun terhumban masuk kolam pada ketinggian 12 meter


  • Benua
  • Sabtu, 08 Jul 2023

Tangkap layar seorang kanak-kanak lelaki terjatuh ketika melintasi garisan 'Zipline' di Fundidora, Monterrey, Mexico.

SEORANG kanak-kanak lelaki berhadapan detik cemas apabila terjatuh ke dalam sebuah kolam buatan pada ketinggian 12 meter di udara ketika melakukan aktiviti ekstrem 'zipline' bersama abangnya di sebuah taman hiburan dekat Fundidora, Monterrey, Mexico pada Khamis.

Ketika kejadian, budak berusia enam tahun itu terlebih dahulu dirakam bergerak melintasi tali 'zipline' tersebut bersama seorang petugas yang membawanya.

Namun, tragedi itu tercetus sebaik kanak-kanak terbabit terjatuh akibat kerosakan pada tali dan mesin peralatan tersebut yang menyaksikan dia terjunam ke bawah sambil disaksikan kakitangan berkenaan.

Bagaimanapun, mangsa dilaporkan selamat apabila dia terjatuh ke dalam kolam buatan yang berada di bawah laluan 'zipline' tersebut hasil daripada bantuan orang ramai yang bergegas menyelamatkannya.

Mengulas lanjut berhubung kejadian ngeri itu, abang kepada kanak-kanak berkenaan meletakkan kesalahan sepenuhnya terhadap kakitangan di taman hiburan tersebut.

"Terima kasih tuhan kerana menyelamatkan adik saya daripada kejadian yang disebabkan kecuaian kakitangan di sini," ujar Sauceda.

Jelasnya, dia menganggap bahawa perkhidmatan di taman hiburan itu sebagai satu kegagalan apabila kesemuanya berada di tahap yang sangat teruk termasuk proses pemasangan dan kakitangan petugas di situ.

Dalam pada itu, kakak kepada budak lelaki malang itu, Nataly Moreno, turut meluahkan kecaman terhadap kejadian tersebut di laman Facebook peribadinya.

"Seorang pelancong telah terjun ke dalam tasik untuk menyelamatkan adik saya dan disebabkan kolam itu agak dalam, dua lagi individu lelaki termasuk abang saya telah terjun untuk membantu.

"Taman itu tidak mempunyai petugas yang terlatih untuk berhadapan dengan situasi seperti itu, maka tiada yang cuba untuk menyelamatkan adik saya," ujarnya.

Susulan insiden terbabit, Agensi Perlindungan Awam Nuevo Leon telah menggantung aktiviti yang dijalankan di taman tema tersebut. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram