PEMINAT bola sepak kebangsaan baru-baru ini dikejutkan dengan berita penangkapan seorang bekas pemain bola negara yang ditahan dalam kes pecah rumah yang berlaku di Benut, Pontian, Johor pada Rabu.
Membabitkan tiga individu yang dilaporkan terlibat dalam kejadian jenayah tersebut, salah seorang daripadanya dikatakan bekas pemain kelab selatan tanah air.
Mengundang seribu satu kekecewaan peminat, seorang lelaki meluahkan kesedihannya di laman TikTok berhubung penangkapan bekas pemain bola tersebut.
Menganggap suspek sebagai salah seorang idola di era kegemilangannya bersama skuad kebangsaan satu ketika dahulu, @epul87 nyata gagal menahan rasa sebak sebaik menerima perkhabaran tersebut.
Jelasnya, si pelaku sebelum ini amat terkenal dengan larian pantas di atas padang di samping gandingan trio yang sangat cemerlang bersama dua lagi pemain berpengalaman iaitu S. Chanturu dan S. Kunanlan ketika menyarung jersi Harimau Malaya.
Timbul beberapa persoalan terhadap punca mengapa pemain itu boleh terjebak dengan kegiatan tersebut, namun @epul87 hanya mampu mendoakan yang terbaik buatnya dengan harapan agar nama baiknya mampu dipulihkan segera pada masa akan datang.
Untuk rekod, dimaklumkan bahawa bekas pemain bola sepak berusia 33 tahun itu ditahan selepas polis melihatnya dalam keadaan mencurigakan dan mendapati dia disyaki terbabit dengan kejadian pecah rumah.
Timbalan Ketua Polis Pontian, Johor, Deputi Superintendan Abdul Hamid mengesahkan kejadian itu dan memaklumkan bahawa kes masih dalam siasatan.
Bekas pemain kelab Liga Super terbabit bersama rakannya ditahan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram