[VIDEO] Mangsa kesembilan tragedi kepala air di Kemaman, Muhammad Fikri selamat dikebumikan


  • Massa
  • Sabtu, 08 Jul 2023

Tangkap layar jenazah Allahyarham Muhammad Fikri dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Parit Kuda, Semerah, Batu Pahat, Johor.

JENAZAH Muhammad Fikri Saliman, mangsa kesembilan tragedi kepala air di Jeram Air Putih, Kemaman, Terengganu, Sabtu lepas, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Parit Kuda, Semerah, Batu Pahat, Johor pagi Sabtu.

Jenazah selamat dikebumikan pada pukul 7 pagi dengan kehadiran ahli keluarga dan rakan Allahyarham.

Terdahulu, jenazah tiba di Masjid Seri Pengkalan, Batu Pahat, pada pukul 4 pagi Sabtu.

Jenazah Muhammad Fikri terlebih dahulu dimandi, dikafan dan disembahyangkan di Jabatan Perubatan Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu, Terengganu sebelum dibawa ke Batu Pahat, kira-kira pukul 10.30 malam Jumaat.

Sementara itu, abang mangsa Shahrizal Saliman, 40, menzahirkan rasa syukur dengan penemuan mayat adik bongsunya itu.

"Alhamdulillah, selamat tiada masalah dan dengan izin ALLAH, semua lancar. Saya rasa bersyukur sangat dapat jumpa, dapat selesaikan jenazah dengan selamat dan sempurna," katanya dan menambah berita penemuan mayat adiknya diterima oleh semua ahli keluarga dalam keadaan tenang.

Mengulas lanjut, Shahrizal berkata, Allahyarham Muhammad Fikri, 24, sebelum ini melakukan dua tiga kerja bagi mencapai hasratnya untuk mendirikan rumah tangga, hujung tahun ini.

"Kursus kahwin semua dah siap, dia rancang memang hujung tahun tetapi hasratnya tidak tercapai, ini semua kuasa ALLAH, ALLAH dah tentukan.

"Dia memang semangat, sebelum bertunang dia memang dah kumpul duit, dia kerja keras nak kumpul duit," katanya lagi.

Muhammad Fikri, yang merupakan anak bongsu daripada lima beradik adalah tunang kepada seorang daripada mangsa tragedi kepala air Jeram Air Putih iaitu Putri Balqis Izzati Abdul Rahman, 18.

Mayat Muhammad Fikri ditemukan pada pukul 9.20 pagi Jumaat, sekali gus menjadikan sembilan mayat dijumpai setakat ini manakala seorang lagi mangsa masih hilang iaitu Putri Nor Fatin Karim, 14.

Pada kejadian Sabtu lepas, Muhammad Fikri berserta tunang dan lapan ahli keluarganya dipercayai dihanyutkan kepala air akibat hujan lebat di jeram berkenaan. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram