RAKAMAN tular memaparkan sebuah kereta dihempap batu yang dikatakan berlaku di Gopeng, Perak, disahkan kejadian luar negara.
Insiden tersebut berlaku di Nagaland, India pada Rabu yang menyaksikan tragedi tanah runtuh ketika hujan lebat melanda kawasan berkenaan.
Kejadian itu dilaporkan berlaku di Lebuhraya Nasional 29, berhampiran pondok pemeriksaan polis Old Chumoukedima sekitar pukul 5 petang.
Dua orang dilaporkan maut dan tiga lagi cedera akibat kejadian tersebut.
Menurut laporan, seorang daripada mangsa maut di tempat kejadian manakala seorang lagi meninggal dunia akibat kecederaan ketika menjalani rawatan di hospital dengan tiga lagi mangsa tercedera sedang menerima rawatan.
Seorang individu terperangkap di dalam keretanya dan operasi menyelamat terpaksa dilakukan di lokasi kejadian.
Ketua Menteri Nagaland, Neiphiu Rio mengucapkan takziah atas kehilangan mangsa yang terkorban dan mengumumkan bantuan wang sebanyak RM5,652 (Rs 4 lakh) bagi setiap seorang untuk keluarga si mati dan bantuan perubatan buat mangsa yang cedera.
Beliau mengesahkan, kawasan kemalangan itu dikenali sebagai 'pakala pahar' dan terkenal dengan kejadian tanah runtuh dan batu. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram