MEMPAMERKAN aksi cemerlang bersama skuad simpanan Johor Darul Takzim (JDT II) di saingan liga musim ini, kelibat Najmuddin Akmal mula meniti di bibir peminat yang semakin menggemari persembahan pemain itu.
Bakatnya mula dikesan seawal usia 15 tahun dengan dia merupakan graduan Program Pembangunan Bola Sepak Kebangsaan (NFDP) selain turut pernah tersenarai dalam skuad kebangsaan di Kejuaraan AFC B-16 pada tahun 2018 yang dikendalikan oleh Datuk Lim Teong Kim.
Penyerang muda berusia 20 tahun itu mencetuskan sensasi dalam kalangan peminat tempatan apabila berjaya meledak satu gol untuk membantu Malaysia muncul juara di saingan Merlion Cup pada Mac lalu.
Berbekalkan pengalaman serta keupayaan pemain itu yang konsisten dalam perlawanan membabitkan kelab JDT dan juga bersama skuad kebangsaan, menjadikan dia antara calon terbaik untuk dipinjamkan ke beberapa kelab utama di saingan Liga Super.
Dua pasukan yang dikhabarkan bakal menjadi destinasi pemain itu adalah Perak FC dan Negeri Sembilan FC dengan kedua-duanya dilihat amat memerlukan kehadiran seorang penyerang yang mampu mengubah nasib kelab tersebut.
Perak FC
Umum mengetahui bahawa skuad Perak FC kini sedang bergelut untuk mendapatkan rentak kemenangan selepas gagal mempamerkan persembahan konsisten dalam beberapa siri perlawanan sebelum ini.
Skuad itu yang dikendalikan Yusri Che Lah selaku pengganti Teong Kim, masih belum dapat membuktikan sebarang perubahan bersama Perak dengan ketumpulan jentera serangan dikatakan punca utama pasukannya masih kemarau jaringan gol.
Perak yang dilihat kerap menaruhkan Hadi Fayyadh selaku penyerang utama musim ini, gagal menterjemahkan ia kepada bentuk kemenangan apabila pemain itu belum membuka 'akaun jaringan' bersama skuad Seladang di saingan utama Liga Super.
Pemain tinggi lampai itu hanya menamatkan kemarau gol ketika diturunkan beraksi dengan skuad Perak II.
Meskipun mempunyai beberapa lagi pilihan pemain di posisi tersebut, kehadiran Najmuddin Akmal dikatakan mampu membawakan satu perubahan besar di bahagian serangan dengan ketajaman dimilikinya di hadapan pintu gol.
Malah, Perak juga boleh mempertaruhkan gandingan duo pemain tersebut bersama Hadi Fayyadh di bahagian hadapan bagi mengukuhkan lagi jentera serangan sekali gus mengubah nasib Perak yang kini sekadar berada di kedudukan ke 11 liga.
Negeri Sembilan FC
Skuad Negeri Sembilan FC kini berhadapan dengan situasi getir apabila hanya memiliki seorang penyerang import, Casagrande selaku peledak utama pasukan itu pada pusingan kedua Liga Super musim ini.
Ia susulan kecederaan serius dialami seorang lagi penyerang pasukan itu, Zaquan Adha yang terpaksa direhatkan kerana cedera di bahagian ligamen lutut ketika menentang Selangor FC.
Ia sekali gus membuatkan anak-anak buah K. Devan amat memerlukan kehadiran seorang lagi penyerang yang mampu memikul tanggungjawab sebagai tonggak utama di bahagian hadapan bersama Casagrande.
Perkara itu turut diakui oleh jurulatih tersebut yang berpendapat, skuadnya berhadapan dilema dalam menghasilkan tindakan penyudah tajam.
Berdasarkan laporan, Devan berkata, jika kewangan persatuan bertambah baik, pasukannya bakal mencari tambahan pemain penyerang bagi jendela perpindahan kedua.
Justeru, ia menguatkan lagi stigma terhadap perpindahan Najmuddin Akmal ke pasukan itu yang semakin menjadi bualan hangat pemerhati bola sepak tanah air musim ini.
Untuk rekod, skuad Jang hanya meraih empat kemenangan dalam 15 perlawanan ditempuh setakat ini dengan 19 mata secara keseluruhan diperoleh pasukan tersebut. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram