SEKTOR pendidikan negara tidak lekang daripada pelbagai isu hangat membabitkan prestasi pelajar, fasiliti dan sistem pendidikan di sekolah serta pelbagai lagi masalah berbangkit yang kerap menjadi topik bualan masyarakat Malaysia.
Terbaharu, kita dikejutkan dengan laporan ratusan ribu pelajar bumiputera yang dikatakan menolak tawaran kemasukan ke Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA), seperti yang didedahkan Kementerian Pendidikan (KPM).
Dilaporkan, sejumlah 188,884 atau 51 peratus daripada 365,553 lepasan SPM telah menolak tawaran ke IPTA yang sekali gus mengundang pelbagai persoalan dalam kalangan masyarakat khususnya ibu bapa yang kian bimbang dengan masa depan anak-anak mereka.
KPM mengeluarkan statistik jumlah pelajar bumiputera yang menerima dan menolak tawaran IPTA. — KPM
Sesetengah pihak berpendapat, isu yuran pengajian yang mahal dan kekurangan peluang pekerjaan menjadi salah satu faktor utama bagi permasalahan tersebut dengan rakyat mendesak penambahbaikan daripada pihak kerajaan terutamanya di KPM.
Namun, bagi pensyarah Pusat Kajian Kesejahteraan dan Pendidikan Komuniti, Fakulti Pendidikan UKM, Dr Anuar Ahmad, beliau menganggap situasi itu akan memberikan kelebihan buat golongan pendatang asing yang menetap di negara ini sekiranya isu terbabit berlanjutan.
Jelasnya, pelajar bumiputera yang menolak tawaran ke IPTA akan berhadapan kesukaran dalam mendapatkan peluang pekerjaan susulan taraf pendidikan yang tidak cukup untuk melayakkan mereka memohon di sektor kemahiran tinggi.
"Kalau pelajar sekadar menamatkan pelajaran di peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), mereka akan bersaing dengan warga asing yang rata-ratanya juga amat memerlukan pekerjaan di kelas bawahan di negara kita.
"Sektor pembuatan, makanan dan binaan misalnya sudah semakin dikuasai oleh golongan pendatang dan kini, premis niaga di pusat beli-belah juga kian dimonopoli oleh pihak berkenaan.
"Jadi, situasi ini pastinya menguntungkan pekerja asing yang sering menjadi pilihan berikutan kadar gaji rendah dan mungkin memberikan sedikit kelebihan buat golongan majikan," katanya kepada Majoriti.
Dr Anuar menganggap isu penolakan pelajar bumiputera melanjutkan pelajaran ke IPTA akan mendatangkan kesukaran buat mereka menempuh alam pekerjaan. — Bernama
Tidak menolak bahawa terdapat beberapa punca utama yang menjadi faktor kepada penolakan pelajar ke IPTA, beliau menganggap isu kemiskinan dan pilihan bidang yang kurang diminati sebagai faktor utama menyumbang dalam isu terbabit.
Jelasnya, pelajar yang datang daripada golongan fakir miskin mungkin tidak mampu untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat tertinggi selain bidang yang ingin diceburi tidak diperoleh, menjadikan pihak berkenaan kecewa dan terus mengabaikan kepentingan melanjutkan pelajaran.
Namun, beliau enggan meletakkan kesalahan itu kepada kerajaan dengan pelbagai bantuan serta pinjaman sudah diberikan buat pelajar di IPTA khususnya.
"Usaha kerajaan memberikan bantuan serta pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) sepatutnya dimanfaatkan sepenuhnya oleh lepasan SPM, jadi kalau masih ada kesukaran yang tertentu, mereka digalakkan untuk memaklumkan kepada pihak universiti.
"Setiap universiti di IPTA mempunyai tabung kebajikan pelajar hasil bantuan daripada pusat zakat dan syarikat yang terkumpul untuk menolong golongan susah yang ingin sambung belajar, jadi tolong jangan mudah putus asa dan tampil maklumkan kepada pihak pengajian.
"Berkenaan isu kekurangan peluang pekerjaan pula, pelajar tolong jangan jadikan ekonomi sebagai halangan, dapat peluang belajar terus ambil dan usaha sehabis baik kerana kita tidak tahu bila pendapatan negara kita akan kembali stabil.
"Kalau semuanya dah kembali pulih, sijil pelajaran yang dimiliki akan jadi lebih berguna dan membantu mereka mendapat pekerjaan yang lebih bagus," tambahnya.
Turut meninggalkan pesanan buat golongan muda ketika ini, beliau menasihatkan agar pelajar di peringkat universiti lebih proaktif dan kreatif bukan sahaja dalam bidang pengajian, malah skil kendiri yang mampu mendatangkan hasil di luar kotak pemikiran.
Dengan kemajuan teknologi yang semakin membangun sekarang, pelajar disarankan untuk mengasah segala potensi diri untuk menjadi insan yang lebih berdaya saing dalam pelajaran mahupun di bidang kreatif dan kemahiran. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram