30 tahun tanpa pembangunan di Kelantan, Gen Z desak 3 perubahan atau 'tukar' kerajaan lain


  • Massa
  • Rabu, 05 Jul 2023

Penduduk Kelantan khususnya generasi muda mahu perubahan dari segi kemodenan pembangunan dilaksanakan di negeri itu. — Awani

MENJELANG Pilihan Raya Negeri (PRN) yang dijangka bakal berlangsung pada penghujung Ogos nanti, rata-rata masyarakat sudah tampil dengan isu dan masalah berbangkit di negeri masing-masing.

Antara yang paling ketara adalah di Kelantan dengan penduduk di negeri Pantai Timur itu menggesa beberapa perubahan serta pembangunan moden daripada kerajaan.

Situasi itu bertitik tolak daripada isu kesesakan jalan raya yang berlaku pada Hari Raya Aidiladha baru-baru ini dengan hampir kesemua rakyat di Kelantan meluahkan masalah sama iaitu laluan jalan raya sempit dan berlubang yang mengundang kemarahan terutamanya di musim perayaan.

Kelantan yang dikatakan masih kekurangan infrastruktur dan kemudahan laluan lebuh raya seperti di negeri-negeri lain, amat memerlukan perubahan dari segi kemajuan dan pemodenan dari sebuah kerajaan yang benar-benar prihatin terhadap nasib rakyat.

Warganet, khususnya generasi muda di laman media sosial menggesa beberapa penambahbaikan menjelang PRN kelak dengan tiga perkara di bawah menjadi bualan hangat dalam kalangan penduduk Kelantan.

LANN

Bendera parti PAS sudah mula dikibarkan di kawasan sekitar Kota Bharu, Kelantan. — Awani

1. Kemudahan jalan raya

Musim perayaan dan percutian merupakan antara detik yang paling kritikal bagi warga Kelantan dengan kesesakan jalan raya sememangnya sudah menjadi kelaziman buat penduduk di situ.

Laluan di kawasan pedalaman yang kurang diselenggara, berlubang dan tidak rata mendorong pemandu di kawasan itu menghabiskan masa lama di atas jalan dengan beberapa pihak turut mendakwa mengalami kerosakan kereta.

Malah, hentian stesen minyak yang terhad juga menjadi punca permasalahan tersebut dengan ketiadaan pam angin tayar kereta dan tempat berhenti rehat merupakan keutamaan utama bagi si pemandu.

2. Peluang pekerjaan/gaji berpatutan

Kekurangan peluang kerja menjadi masalah utama bagi golongan pelajar yang mahu melanjutkan ke alam pekerjaan dengan isu lambakan graduan dari negeri Kelantan juga amat membimbangkan sesetengah penduduk di situ.

Akibatnya, kesemua graduan universiti khususnya terpaksa berhijrah ke negeri luar bagi mendapatkan pekerjaan yang lebih terjamin dan bersesuaian dengan tahap kelulusan pelajaran diperoleh.

Dalam pada itu, kadar gaji yang kurang berpatutan juga perlu diatasi oleh pihak kerajaan agar masyarakat lebih stabil dari segi perbelanjaan dan kos sara hidup yang semakin meningkat naik ketika ini.

3. Penyelesaian isu air karat

Isu air di Kelantan kian berlarutan sejak bertahun lamanya dan sehingga kini, ia masih belum dapat diselesaikan oleh mana-mana pihak.

Air karat, berbau dan terputus di sesetengah kawasan pedalaman Kelantan mengakibatkan ramai penduduk mula berpaling tadah dengan kerajaan PAS yang telah lama memegang tampuk kepimpinan melebihi 30 tahun di negeri itu.

Tidak dinafikan, ada beberapa usaha dijalankan oleh pihak berwajib berhubung hal itu, namun ia dianggap sebagai isu 'bermusim' yang kerap berlaku dan sekali gus mengundang kemarahan rakyat.

Tidak mengharapkan sebarang perubahan drastik, namun penduduk rata-ratanya mahukan penambahbaikan serta bantuan segera daripada pihak berwajib berhubung ketiga-tiga isu di atas.

Dengan penyelesaian masalah terbabit, nescaya ia mampu mengembalikan kepercayaan generasi muda di Kelantan terhadap PAS sekali gus mengekalkan penguasaan parti itu di Kelantan pada PRN nanti. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram