MESKIPUN memperoleh kemenangan besar 6-1 ke atas Kuala Lumpur City FC dalam aksi Liga Super pada Isnin, ketua jurulatih Johor Darul Takzim (JDT), Esteban Solari mengakui masih banyak yang perlu diperbaiki terutamanya dari segi fokus pemain.
Ia susulan KL City menjadi pasukan ketiga selepas Kelantan FC dan Terengganu FC yang berjaya menembusi gawang JDT di pentas liga setakat ini.
Bagi Solari, anak-anak buahnya telah menampilkan persembahan menyakinkan dalam tempoh separuh masa pertama untuk meraih jaringan berganda namun corak permainan kian lemah di babak kedua sehingga memberi ruang kepada lawan meledak gol.
Walau bagaimanapun, dia merasakan kelalaian barisan pemain ketika itu antara aspek yang akan diambil kira sebagai penambahbaikan agar ia tidak berulang lagi terutamanya pada aksi final Piala FA pada 22 Julai nanti.
“Kami bermain dengan cukup baik pada separuh masa pertama di mana pemain-pemain berusaha keras untuk mencari jaringan.
“Tetapi ia berbeza pada separuh masa kedua apabila mereka tidak boleh mengekalkan rentak permainan dan saya percaya ianya tidak mudah walaupun kami dah dapat empat gol pada babak pertama.
“Penting sebenarnya untuk terus kekal tanpa bolos tetapi kami hilang fokus sehingga lawan boleh pegang bola.
“Sudah tentu banyak yang kita perlu perbaiki dan salah satunya adalah fokus untuk pemain kekal menumpukan perhatian”, jelasnya.
Kemenangan berterusan JDT itu berjaya mengekalkan mereka di takhta liga dengan 45 mata setakat ini.
Dalam aksi Liga Super lain yang turut berlangsung pada Isnin adalah, Terengganu FC yang menang tipis 1-0 ke atas Kedah Darul Aman FC.
Pengendalinya, Tomislav Steinbruckner tetap berpuas hati walaupun hanya menang dengan satu gol sahaja apatah lagi tanpa kehadiran tonggak utama seperti Argzim Redzovic dan Ivan Mamut.
“Saya boleh katakan saya puas dengan satu gol menerusi Engku Nur Shakir dan Nik Sharif Haseefy juga turut melakukan tugas yang baik.
“Jika kami dapat menambah jaringan lebih awal sudah pasti akan dapat memberi kelebihan kepada kami dan kita kena berhempas pulas untuk tiga mata ini.
“Tetapi saya tidak boleh salahkan pemain-pemain saya dan cukup bagus kami dapat menang malam ini (Isnin)”, jelasnya.
Dalam keputusan lain menyaksikan Selangor FC kekal di tangga kedua selepas menang 2-1 ke atas Kuching City FC. — MFL
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram