[VIDEO] Tergantung lebih 3 jam di udara, pengunjung cemas 'roller coaster' berhenti mengejut


  • Benua
  • Jumaat, 07 Jul 2023

Tangkap layar beberapa penumpang roller coaster cuba diselamatkan oleh anggota penyelamat bomba di Amerika Syarikat.

BEBERAPA orang pengunjung melalui detik getir apabila mereka tergantung dalam keadaan terbalik ketika menaiki mesin permainan roller coaster di sebuah festival yang berlangsung di daerah Forest, Crandon, Wisconsin, Amerika Syarikat pada Ahad.

Terhenti lebih tiga jam, seramai lapan individu terpaksa diselamatkan oleh pasukan penyelamat bomba yang bergegas ke tempat kejadian.

Dalam insiden tular di media sosial itu, beberapa anggota bomba dirakam cuba menaiki tiang rel tersebut menggunakan kren untuk menyelamatkan mangsa.

Menggunakan trak tangga untuk menurunkan kesemua penumpang terlibat, proses menyelamat itu mengambil masa hampir tiga jam setengah dengan salah seorang daripadanya dibawa ke hospital untuk menerima rawatan.

Punca sebenar insiden itu masih belum dapat dipastikan namun pengendali mesin tersebut menyifatkan ia sebagai 'kegagalan teknikal' yang berlaku tanpa disengajakan.

Dalam pada itu, jurucakap Jabatan Keselamatan dan Perkhidmatan Profesional Negeri berkata, pihaknya sedang melakukan siasatan dan telah menghantar seorang wakil pemeriksa ke tempat kejadian. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram