[VIDEO] 'Macam dah nazak', 2 lelaki didakwa campak, dera kucing hingga cedera


  • Tular
  • Jumaat, 07 Jul 2023

Tangkap layar dua individu lelaki dipercayai melakukan penderaan terhadap seekor haiwan kucing.

DUA lelaki didakwa melakukan penderaan terhadap seekor kucing dalam satu rakaman tular dikongsikan di laman Twitter pada Jumaat.

Dalam video berdurasi 58 saat itu, memaparkan perbuatan kedua-dua individu terbabit yang dilihat mencampakkan haiwan berkenaan dari pintu bahagian belakang kereta.

Kucing itu yang kelihatan seperti tercedera, kemudiannya tidak berganjak dari situ sebaik dilepaskan oleh lelaki terbabit.

Gusar dengan nasib kucing tersebut, si pelaku kemudiannya turun dari kenderaannya untuk memeriksa haiwan berkenaan.

Meraih lebih 4,000 jumlah tontonan, warganet menggesa agar tindakan undang-undang dikenakan terhadap kedua-dua lelaki terbabit.

"Macam dah nazak, apa yang dia buat sampai kucing itu menggeletar badan, tak bergerak dibuatnya, tolong polis segera tangkap si pelaku," kata Mustaqim Azlan.

"Pihak polis tolong siasat video ini, lagi-lagi kes orang dera kucing kesian dia apa salah dia sampai diperlakukan seperti itu, kejam sungguh," ujar BuditBliss.

"Tak sanggup nak tengok tapi boleh agak yang ini mesti kes penderaan haiwan, harap sangat mereka ditangkap dan disumbat dalam penjara cepat," tambah Samantha.

Lokasi sebenar kejadian tidak dapat dipastikan buat masa sekarang dan masih belum ada sebarang kenyataan polis berhubung insiden tersebut setakat ini.

Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta hadir ke balai untuk membuat laporan lanjut. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram