Kerjasama Wonda Coffee, FAM bantu semarakkan bola sepak tempatan


  • Podium
  • Jumaat, 07 Jul 2023

Majlis kerjasama itu dihadiri Setiausaha Agung FAM, Noor Azman Rahman (kanan) dan Timbalan Presiden Etika, Joehari Ayub.

BAGI memartabatkan lagi industri bola sepak negara, syarikat minuman tempatan, Wonda Coffee Malaysia dan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengukuhkan kerjasama antara kedua-dua pihak.

Hubungan tersebut dibuat dengan sasaran untuk terus memberikan sokongan di samping menjadi inspirasi terhadap orang ramai agar terus menjadi watak penting di sebalik kejayaan skuad kebangsaan.

Kerjasama itu diumumkan ketika aksi persahabatan Harimau Malaya menentang Kepulauan Solomon yang diadakan di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Terengganu pada 14 Jun lalu.

Bercakap mengenai perkara tersebut, Ketua Pegawai Eksekutif Etika, Santharuban T Sundaram menegaskan bahawa dia percaya segala harapan dan sasaran diletakkan mampu direalisasikan.

"Oleh itu, kami sangat teruja untuk bekerjasama bersama FAM dengan harapan untuk mencetuskan revolusi bola sepak di Malaysia dan memberi inspirasi kepada negara untuk terus menggapai mimpi.

Photo 1_ Wonda Coffee Malaysia announces partnership with FAM

Kerjasama antara Wonda Coffee dan FAM dilihat akan terus menyemarakkan lagi landskap bola sepak negara.

"Melalui usaha bersama FAM, kami berharap untuk menyatukan rakyat Malaysia dan mengukuhkan asas bagi membolehkan pasukan bola sepak kebangsaan Malaysia bersaing di peringkat antarabangsa terbesar, Piala Dunia FIFA," katanya.

Tambahnya lagi, dia turut berharap agar hubungan berkenaan dapat merancakkan lagi suasana bola sepak tanah air untuk terus mencapai tahap lebih tinggi.

Sementara itu, Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin juga mengalu-alukan kerjasama dengan syarikat ternama terbabit demi pembangunan industri sukan terbabit.

"Kami gembira diberi peluang untuk bekerja dengan jenama yang mempunyai matlamat dan prinsip yang sama. Kerjasama ini menandakan permulaan era baru buat bola sepak Malaysia.

"Dengan memupuk rasa cinta yang kuat terhadap sukan ini di kalangan rakyat Malaysia, kami berharap dapat membina ekosistem bola sepak yang kukuh," katanya.

Kerjasama tersebut turut merangkumi pelbagai aktiviti termasuk program penglibatan bersama peminat, sesi ramah mesra eksklusif bersama pemain pasukan kebangsaan dan inisiatif lain untuk mengeratkan hubungan sesama pihak. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram