LUMRAH dalam karier seorang jurulatih apabila dipecat oleh pihak pengurusan kelab jika mereka tidak mencapai objektif yang ditetapkan pasukan.
Musim ini, dalam Liga Super, lima jurulatih sudahpun menjadi mangsa pihak pengurusan pasukan selepas mereka tidak mampu mengendalikan kelab masing-masing dengan baik.
Antara jurulatih yang menjadi mangsa ialah Tomas Trucha, Azzmi Aziz, Choi Moon-sik, Frank Bernhardt dan Datuk Lim Teong Kim yang dipecat oleh pasukan masing-masing.
Namun adakah anda tahu bahawa lapan tahun lalu pada tarikh 7 Julai 2015, enam jurulatih hebat dalam Liga Malaysia pernah dipecat oleh pasukan masing-masing.
Legenda bola sepak Kedah Darul Aman FC (KDA FC), Azraai Khor Abdullah antara salah seorang yang menjadi mangsa dipecat oleh Kelantan FC.
Azraai ketika membimbing Kelantan pada 2015. — Facebook
Sebelum Azraai, George Boateng terlebih dahulu dipecat oleh pihak pengurusan The Red Warriors (TRW) selepas prestasi pasukan yang terumbang-ambing.
Selain dua jurulatih itu, nama-nama besar dalam Liga Super seperti B. Sathianathan (ATM), Bojan Hodak (JDT) dan Aminuddin Hussein (Kuantan FA) terlebih dahulu dipecat oleh pasukan masing-masing selepas prestasi tidak menentu.
Dalam pada itu, Datuk K. Rajagopal yang dianggap jurulatih terbaik Malaysia turut tidak mempunyai pasukan selepas kontraknya bersama skuad kebangsaan tidak disambung oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).
Rajagopal, yang membawa Malaysia menjulang kejuaraan pada Sukan Sea 2009 dan Piala AFF 2010, dipecat FAM selepas gagal mencapai sasaran layak ke Piala Asia di Australia pada 2015.
Situasi ini menjadikan enam jurulatih terkemuka dalam Liga M dipecat dalam satu musim yang sama sekali gus mengejutkan seluruh penyokong bola sepak tempatan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram