Bukan import, skuad Jang sebaliknya pilih prospek Terengganu kuatkan kelab


  • Podium
  • Khamis, 06 Jul 2023

Ubaidullah membantu Harimau Muda menjulang Piala AFF B-19 pada 2022. — Facebook/FAM

SEMENTARA pasukan lain rancak mengumumkan ketibaan pemain baharu, Negeri Sembilan pula mengumumkan bahawa tidak akan membuat penambahan pemain import pada sesi perpindahan kedua Liga Malaysia (Liga M).

Malah, jurulatih skuad Jang, K Devan juga akur dengan keputusan pihak pengurusan yang memintanya untuk menggunakan pemain sedia ada dalam skuad bagi meneruskan perjuangan pusingan kedua Liga M musim ini.

Pengendali berusia 55 tahun itu berpendapat ia adalah satu cabaran buatnya untuk beraksi tanpa pemain import yang cukup namun tetap mempercayai keupayaan barisan tonggak sedia ada ada.

Namun baru-baru ini skuad Jang sepertinya akan mendapat tonik baharu selepas difahamkan sedang berusaha untuk mendapatkan pemain muda Terengganu FC II (TFC), Ubaidullah Shamsul Fazili sebagai pinjaman bagi membantu memperkukuhkan saingan kedua ini.

WhatsApp Image 2023-07-06 at 13.19.41

Ubai menyertai Terengganu pada awal musim ini. — Facebook/TFC

Perkara itu dikongsikan oleh pemerhati bola sepak tanah air, T Avineshwaran menerusi laman Twitter miliknya pada Rabu.

"Bek tengah Terengganu II dan pemain bawah 23 tahun, Ubaidullah Shamsul Fazili diintai pasukan Negeri Sembilan. Mereka berminat untuk membawanya secara pinjaman selepas mempamerkan aksi cemerlang untuk pasukan bawah 23 tahun negara," ciapnya.

Pemain berusia 19 tahun itu mencuri perhatian penyokong bola sepak domestik apabila menjaringkan gol pembukaan ketika menentang Laos seawal minit keempat perlawanan pada kejohanan Sukan SEA di Kemboja pada Mei lalu.

Bukan itu sahaja, bekas pemain Projek FAM-MSN juga menyerlah ketika membantu Harimau Muda menjulang Piala AFF B-19 tahun lalu dengan menundukkan Laos 2-0 dalam final di Stadium Patriot Candrabhaga, Indonesia.

Di peringkat Piala MFL pula, bakat Ubaidullah semakin berkembang di bawah bimbingan pengendali TFC II, Hairuddin Omar dan dia juga antara tonggak utama skuad simpanan pasukan Penyu itu.

TFC II kini sedang mengungguli carta kedudukan Piala MFL dengan merekodkan lapan kemenangan daripada 10 perlawanan bagi saingan Kumpulan A. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram