Ingin beraksi semula bersama HM, tonggak warisan tekad kumpul minit permainan dengan Gergasi Merah


  • Podium
  • Khamis, 06 Jul 2023

Antara aksi Sam ketika Selangor menewaskan Kuching City 2-1 dalam perlawanan Liga Super pada Isnin. — Facebook/SelangorFC

PENJAGA gol Selangor FC, Samuel Somerville mengharapkan lebih banyak minit permainan untuk membantu meningkatkan peluangnya mendapat panggilan ke pasukan kebangsaan.

Pemain warisan Malaysia-England itu mengakui peluangnya untuk berada dalam senarai Harimau Malaya agak sukar memandangkan dia hanya membuat dua penampilan bersama skuad Gergasi Merah musim ini.

Somerville yang juga dikenali sebagai Sam sentiasa berusaha untuk meningkatkan mutu persembahannya agar pengendali Selangor, Tan Cheng Hoe lebih kerap menyenaraikannya dalam kesebelasan utama.

“Sukar untuk saya mengekalkan prestasi apabila jarang bermain tetapi saya akan melakukan yang terbaik jika jurulatih memerlukan saya.

“Sudah tentu saya mahu bermain dan sentiasa bekerja keras dalam latihan untuk menjadi pilihan jurulatih. Namun semuanya terpulang kepada jurulatih penjaga gol yang mana akan diturunkan.

“Peluang untuk dipilih dalam skuad kebangsaan hanya akan dinilai pada minit bermain di peringkat kelab. Saya tidak menjangkakan akan berada dalam senarai itu (Harimau Malaya) melainkan saya berada dalam tahap yang terbaik di peringkat kelab.

“Itu perkara paling penting dan bukan perkara yang mudah apabila anda tidak bermain kerana latihan berbeza dengan minit permainan,” katanya.

sam 2

Sam ketika bersama skuad kebangsaan dalam baki saingan kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023. — Facebook/FAM

Pemain berusia 28 tahun itu beraksi di ketika Selangor menewaskan Kuching City 2-1 dalam perlawanan Liga Super di Stadium Bandaraya Petaling Jaya pada Isnin.

Somerville gembira dapat membantu pasukannya memperoleh tiga mata tetapi masih kecewa berikutan gagal mengekalkan rekod bersih selepas dibolosi gol pada minit terakhir perlawanan.

“Saya berharap untuk bermain dalam seberapa banyak perlawanan yang saya boleh kerana saya kini berusia 28 tahun dan menghampiri kemuncak saya sebagai penjaga gol.

“Saya tidak tahu apa yang akan berlaku pada masa depan tetapi saya benar-benar mahu mendapatkan minit bermain,” kata Somerville, yang bermain untuk Pulau Pinang ketika mereka memenangi Liga Perdana pada 2020. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram