Masih belum cukup padu, 3 kelab boleh dapatkan nama baharu untuk selesaikan isu besar


  • Podium
  • Jumaat, 07 Jul 2023

Dari kiri: Kelantan FC, KDA FC dan Perak FC masih sempat untuk mencari solusi bagi merancakkan lagi musim 2023.

JENDELA perpindahan kedua Liga Super yang dibuka pada Rabu menyaksikan beberapa pasukan sudah bergiat aktif untuk membawa masuk beberapa pemain.

Di samping bintang-bintang tempatan, terdapat juga kelab-kelab tanah air yang berbelanja besar untuk menarik pemain luar berdasarkan kualiti masing-masing.

Langkah berkenaan dilihat cukup penting untuk memastikan mereka mampu bersaing dengan lebih baik selain berhasrat untuk menamatkan musim di tangga lebih baik.

Setakat ini, Kuching City FC dan Kelantan United FC boleh dilabel sebagai pasukan paling 'mewah' apabila kedudukan mereka dalam Liga Super boleh dianggap sebagai telur di hujung tanduk.

Persoalan mengenai kebolehan rekrut-rekrut itu untuk memberikan sumbangan seperti diharapkan hanya boleh dijawab selepas masing-masing diturunkan di atas padang.

Bagaimanapun, masih ada yang memilih untuk kekal pasif supaya segala keputusan yang dibuat tidak memberikan satu kerugian pada masa akan datang.

Meskipun pendekatan itu boleh dianggap satu respons lebih baik, penyokong seolah-olah mendesak pihak pengurusan untuk bertindak lebih pantas.

Ia kerana mereka berasakan terdapat pelbagai masalah yang perlu diperbaiki dan solusi terbaik terhadap isu-isu terbabit adalah dengan membawa masuk wajah-wajah baharu.

Berdasarkan pemerhatian dalam kancah Liga Super, terdapat tiga kelab yang kini berdepan masalah serius dalam beberapa aspek serta penyelesaian segera yang boleh diambil dengan melakukan rekrut berkesan.

1. Kelantan FC - Shahrul Saad

Tidak boleh dinafikan bahawa kelab Pantai Timur, Kelantan FC berdepan masalah serius di luar padang dengan laporan saban hari mengatakan bahawa mereka gagal untuk menyelesaikan tunggakan bayaran pemain.

Namun, terdapat juga perkara besar yang perlu diambil perhatian dari segi prestasi dalam Liga Super memandangkan mereka memegang rekod sebagai pasukan dengan prestasi pertahanan terburuk.

Setakat 14 perlawanan, kelab tercorot liga tersebut sudah dibolosi sebanyak 52 kali, yang mana menjadi punca skuad The Red Warriors (TRW) gagal mengumpul sebarang mata.

357468074_840822934080351_6161609148972486818_n

Shahrul sukar mendapatkan minit permainan sepanjang musim 2023. Facebook/JOHOR Southern Tigers

Jadi, dengan jendela perpindahan hanya akan ditutup pada Ogos, masih terdapat masa untuk kelab Pantai Timur tersebut untuk membawa masuk pemain baharu.

Sebelum ini, terdapat ura-ura mengatakan Johor Darul Takzim (JDT) terbuka dalam membenarkan segelintir pemain yang jarang diturunkan untuk meninggalkan jaguh tempatan itu.

Antara nama-nama yang disenarai pendek untuk dilepaskan ialah pertahanan kebangsaan, Shahrul Saad dengan dia lebih kerap memanaskan bangku simpanan.

Hal itu adalah kerana dia perlu mendapatkan minit permainan bagi menghidupkan lagi peluangnya untuk dipanggil ketua jurulatih skuad Harimau Malaya, Kim Pan-gon menjelang aksi Piala Asia 2023.

Bagaimanapun, perpindahan itu dilihat sukar untuk dimeterai memandangkan Kelantan FC dikenakan sekatan perpindahan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang perlu diselesaikan segera.

2. Perak FC - Jordan Mintah

Antara insiden yang segar dalam kenangan bola sepak tanah air baru-baru ini adalah ketika mana terdapat khabar angin mengenai hubungan tegang antara pengendali Terengganu FC, Tomislav Steinbruckner dan penyerang, Jordan Mintah.

Perkara tersebut berlaku berikutan keengganan pemain kelahiran Ghana itu untuk mengambil sepakan penalti ketika separuh akhir Piala FA menentang Kuala Lumpur (KL) City FC di laman sendiri.

Jadi, terdapat ura-ura mengatakan bahawa Mintah akan dibenarkan untuk meninggalkan skuad Sang Penyu untuk baki musim 2023 dengan status pinjaman.

355872462_248284777912964_2369445863350469077_n

Status Mintah sebagai pemain Sang Penyu terus mencetuskan tanda tanya. Facebook/Terengganu FC

Salah satu destinasi yang sering disebut-sebut ialah Perak FC yang masih mencari-cari cara untuk menjaringkan lebih banyak gol dalam Liga Super.

Dalam 15 perlawanan, pasukan Utara tanah air itu hanya mencatatkan 10 jaringan sehingga menyebabkan mereka menduduki tangga ke-11.

Bagi menyelesaikan hal tersebut, terdapat desas-desus yang mengatakan skuad The Bos Gaurus (TBG) bakal mendapatkan bekas pemain Melaka United, Luka Milunovic.

Namun, sehingga kini, tiada persetujuan sudah diumumkan pasukan tersebut, sekali gus menimbulkan tanda tanya mengenai kehadiran penyerang berusia 30 tahun itu.

Tetapi, mereka tidak perlu gentar untuk mencari alternatif berbeza memandangkan Mintah masih terbuka untuk meninggalkan Terengganu FC sebelum jendela perpindahan ditutup.

Meskipun gosip itu pernah ditepis Ketua Pegawai Eksekutif Interim Perak FC, Bobie Farid Shamsudin, penghijrahan terbabit masih diidam-idamkan penyokong skuad TBG.

3. Kedah Darul Aman FC - Sam Somerville

Berdasarkan pemerhatian awal, Kedah Darul Aman (KDA) FC merupakan salah sebuah kelab terbaik untuk musim ini dengan mereka kini berada di tangga keempat Liga Super.

Selepas melakukan perbelanjaan secara besar-besaran awal musim lalu, kebolehan skuad Sang Kenari dari segi pertahanan mahupun serangan boleh dianggap sebagai antara yang terbaik.

Namun, di sebalik cahaya yang dipamerkan kelab itu, terdapat satu penambahbaikan yang masih boleh diambil untuk mengukuhkan lagi kedudukan mereka dalam kelompok lima pasukan teratas.

358132896_746721697459561_6007640180915409935_n

Somerville mempunyai bakat besar sebagai salah seorang penjaga gawang terbaik tanah air. Facebook/Selangor FC

Berdasarkan beberapa perlawanan sebelum ini, pasukan Utara tanah air berkenaan kerap dibayangi dengan kesilapan penjaga gol sehingga mencicirkan mata-mata penting.

Dalam aksi Liga Super sebelum ini, penjaga gol pilihan, Ifwat Akmal Chek Kassim gagal membaca rembatan rendah pemain lawan, Engku Nur Shakir Engku Yacob sehingga mereka tewas kepada Terengganu FC.

Tetapi, hal tersebut juga berlaku ketika pemain kebangsaan, Kalamullah Al-Hafiz Mat Rowi diberikan peluang dengan dia sering dijadikan kambing hitam setiap kali mereka dibolosi.

Jadi, penyelesaian yang dapat dilihat untuk mengatasi masalah tersebut adalah dengan membawa masuk penjaga gol baharu dengan pemain Selangor FC, Sam Somerville dilihat sebagai alternatif terbaik.

Kehadiran Tan Cheng Hoe sebagai ketua jurulatih baharu musim lalu menyaksikan pemain berdarah kacukan Australia-Malaysia itu kehilangan tempat dengan Khairulazhan Khalid diberikan kepercayaan ketika ini.

Oleh itu, sekiranya KDA FC mahu mencari seorang penjaga gawang baharu, Somerville merupakan calon sesuai melihat kepada kebolehan serta struktur fizikalnya. — Majoriti

Boleh flolow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram