KEKALAHAN kepada Kedah Darul Aman (KDA) FC dalam aksi minggu ke-14 Liga Super meletakkan mereka di tangga ke-11 dengan hanya sembilan mata dikumpul setakat ini.
Ketumpulan barisan serangan dikatakan antara punca mereka terus berdepan nasib tidak menentu sehingga pasukan itu kini semakin sukar untuk menamatkan saingan di tangga lebih baik.
Tiga gol yang dijaringkan penyerang kelahiran Korea Selatan, Seo Seonung meletakkannya sebagai penjaring terbanyak skuad The Bos Gaurus (TBG) yang mana sekali gus menceritakan situasi semasa kelab itu.
Namun, kecederaan serius yang dialaminya memberi tekanan tambahan buat pihak kejurulatihan dalam usaha mereka untuk memperbaiki kedudukan.
Ketika ini, tanggungjawab untuk meledak di hadapan pintu gol lawan diletakkan di bahu penyerang berusia 23 tahun, Hadi Fayyadh Abd Razak.
Pemain yang dibawa masuk dari kelab Jepun, Fagiano Okayama itu masih belum mempamerkan persembahan terbaik setakat ini selepas tiba pada jendela perpindahan yang lalu.
Hadi Fayyadh ketika beraksi bersama kelab Jepun, Fagiano Okayama. — Agensi
Dalam 11 penampilannya dalam Liga Super, bekas graduan akademi Johor Darul Takzim (JDT) tersebut hanya mencatatkan dua bantuan gol.
Catatan itu semestinya sukar diterima rata-rata penyokong skuad TBG memandangkan mereka hanya menjaringkan sembilan gol dalam kancah Liga Super.
Jadi, mereka terus mengharapkan agar Hadi Fayyadh dapat menemui semula rentaknya di atas padang, sekali gus membantu Perak FC berada di kedudukan lebih baik.
Bagi merealisasikan hasrat itu, pasukan Utara tanah air tersebut mengambil pendekatan berbeza apabila meletakkan pemain berketinggian 1.86 meter tersebut dalam skuad simpanan.
Menerusi satu video di padang latihan baru-baru ini, penyerang berkenaan dilihat menyertai sesi berkenaan menjelang aksi Piala MFL menentang Kelantan FC II pada Ahad.
Kelibat Hadi kelihatan ketika sesi latihan skuad Piala MFL Perak FC. — Facebook/Perak FC
Keputusan berkenaan dilihat cukup baik memandangkan Hadi Fayyadh masih bergelut untuk mendapatkan rentak dalam arena bola sepak tempatan.
"Kalau berjaya jaringkan hatrik, harap dikekalkan dahulu Hadi bersama Perak FC II. Jika boleh skor sekalipun, kekalkan sahaja dalam pasukan simpanan ini," kata Boy Zairol.
"Terbaik Hadi, patut masuk Perak FC II terlebih dahulu dan buktikan. Dapat main jadi jaguh dengan skuad simpanan pun sudah cukup baik," kata Muhammad Fa'iq.
"Setuju juga kalau Hadi diturunkan untuk Perak FC II. Harap dapat dikembalikan keyakinan untuk menjaringkan gol," kata Muhammad Safwan.
Selepas tujuh perlawanan, Perak FC II kini berada di tangga keempat Kumpulan B Piala MFL hasil kutipan sembilan mata yang diperolehi daripada dua kemenangan dan tiga keputusan seri.
Mereka kini dikendalikan bekas pemain Perak FA, Chan Wing Hoong selepas jurulatih sebelum ini, Yusri Che Lah dinaikkan pangkat ke skuad senior Perak FC. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram