IDEA Perak FC untuk mengetengahkan bakat pemain muda masih mendapat kecaman orang ramai terutamanya dari kalangan penyokong The Bos Gaurus (TBG) yang kurang berpuas hati dengan kualiti permainan mereka.
Malah, bekas jurulatih Harimau Malaya, B Sathianathan juga pernah memberi cadangan bahawa skuad Seladang memerlukan seorang pemain penyerang import berpengalaman untuk membantu pasukan berkenaan.
Musim ini, Perak hanya mempunyai empat pemain import iaitu Sunday Afolabi, Luciano Guaycochea, Seo Seon-ung dan penyerang import, Christian Obiozor yang masih tidak menjaringkan gol buat skuad TBG.
Mengabaikan semua cadangan penyokong dan jurulatih berpengalaman seperti Sathianathan, pengendali Perak FC, Datuk Lim Teong Kim dilihat masih teguh dengan prinsip penggunaan pemain muda tempatan.
Menurut laporan Majoriti sebelum ini, Teong Kim berkata, pemain-pemain muda di bawah asuhannya perlu menimba pengajaran daripada kesilapan dan menambah pengalaman dari semasa ke semasa.
Data peratusan pemain B-23 yang digunakan dalam Liga Super.
Oleh itu, tidak terkejutlah jika Youth Football Malaysia baru-baru ini mengumumkan Perak menjadi pasukan teratas menggunakan banyak pemain Bawah 23 Tahun (B-23) dalam saingan Liga Super dengan 54 peratus.
Ia secara tidak langsung membuktikan bahawa skuad Seladang menjadi pasukan Liga Super yang paling menghargai bakat muda dan memberi peluang mereka menyerlah.
Selangor FC menjadi pasukan kedua menggunakan banyak bakat muda dengan 46 peratus, diikuti Terengganu FC (TFC) yang menggunakan tenaga B-23 sebanyak 25 peratus sahaja.
Amri Yahyah menjadi pemain tertua Sabah FC dengan usianya yang menjangkau 42 tahun. — Facebook/ SabahFC
Sementara itu, dalam data tersebut juga menunjukkan Sabah FC menjadi satu-satunya pasukan yang tidak menggunakan pemain B-23 pada musim ini.
Perkara itu secara tidak langsung menimbulkan persoalan dalam kalangan penyokong yang tertanya-tanya adakah barisan kejurulatihan kurang mempercayai bakat muda atau tiada ubi muda berbakat di Sabah FC.
Stuart Wilkin, berusia 25 tahun menjadi pemain tempatan termuda The Rhinos yang sering menjadi pilihan Datuk Ong Kim Swee untuk diturunkan pada aksi Liga Super. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram