Siap jumpa ejen Moon-sik, 3 kelab bakal terima khidmat 'oppa' Julai nanti


  • Podium
  • Sabtu, 24 Jun 2023

Leo Jeong (tengah) ketika menyelesaikan urusan pelantikan Moon-sik dengan Kelantan FC. — Instagram/leo_jeong10

KEHADIRAN import-import dari Korea Selatan berjaya menaikkan lagi kehangatan bola sepak tanah air dengan sumbangan masing-masing cukup didambakan.

Pemain tengah Sabah FC, Park Tae-su amat dikenali dalam kalangan penyokong skuad Sang Badak berdasarkan kebolehannya sejak menyertai pasukan itu pada 2019.

Tidak cukup dengan itu, kelab Borneo berkenaan turut membawa seorang lagi import dari negara berkenaan, Kwang Ko-min yang boleh beraksi sebagai pertahanan kiri.

Malah, pasukan bergelut Liga Super, Perak FC juga tidak terkecuali untuk menggunakan khidmat pemain dari Korea Selatan dengan Seo Seon-ung terus ditagih.

Tiga gol yang dijaringkannya dalam hanya tujuh penampilan meletakkannya sebagai penjaring terbanyak kelab Utara tanah air itu sebelum mengalami kecederaan serius April lalu.

2010154 (1)

Moon-sik merupakan salah seorang individu dari Korea Selatan yang dibawa ke Liga Malaysia oleh Leo Jeong. Facebook/TRW Kelantan FC

Namun, ketika ini, masih terdapat beberapa pemain dari Korea Selatan yang masih belum meraih minit-minit permainan dalam Liga Super apabila terus diletakkan di skuad simpanan pasukan masing-masing.

Bagaimanapun, hal berkenaan tidak memberi sebarang kesan buruk kepada kelab apabila ejen pemain-pemain itu, Leo Jeong-geun menegaskan mereka hanya menumpang fasiliti dan sesi latihan.

Dia yang sememangnya dikenali berikutan hubungannya dengan bekas ketua jurulatih Kelantan FC, Choi Moon-sik sememangnya sering menyatakan hasrat untuk mengembangkan bakat-bakat muda di rantau Asia Tenggara.

Antara pasukan yang dengan terbuka menerima pemain dari negara Asia Barat itu ialah Perak FC, Kelantan FC dan Sri Pahang FC dengan majoriti daripada mereka meletakkan rekrut-rekrut berkenaan dalam skuad Piala MFL.

Ia dilihat sebagai satu kelebihan memandangkan bakat-bakat tempatan dapat didedahkan dengan mereka yang berasal serta berpengalaman bermain di Korea Selatan.

Jadi, tidak hairanlah apabila terdapat kemungkinan bahawa lebih ramai akan dibawa masuk ejen berkenaan yang juga merupakan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) kepada Agensi Sukan JMH.

Berdasarkan pemantauan di laman Instagram peribadi Leo Jeong, terdapat tiga pasukan yang seolah-olah sedang melakukan perbincangan bagi membawa masuk lebih ramai pemain dari negara itu.

1. Kelantan United

Semasa lawatan beberapa hari Leo Jeong di beberapa negara Asia Tenggara, dia sempat singgah untuk menyaksikan beberapa perlawanan di stadium seluruh negara.

Antara yang diberikan tumpuan olehnya ialah sekitar kawasan Pantai Timur memandangkan terdapat beberapa kelab bertempat di negara-negara tersebut.

Salah satu pasukan yang sempat dilawati ejen tersebut ialah Kelantan United berdasarkan sekeping foto yang dikongsinya tiga minggu lalu.

Dalam hantaran berkenaan, Leo Jeong sempat bergambar dengan salah seorang staf skuad Kijang Hijau yang menyarung baju-T rasmi kelab.

WhatsApp Image 2023-06-23 at 20.14.56

Ejen Korea Selatan itu ketika bersama salah seorang staf pengurusan Kelantan United FC. Instagram/leo_jeong10

Tidak cukup dengan itu, kapsyen yang disertakan juga menarik perhatian ramai apabila dia berkata, lebih ramai pemain akan tiba di Malaysia tidak lama lagi.

Ketika ini, pasukan berkenaan berada di tangga ke-13 selepas hanya mengumpul enam mata daripada 14 perlawanan dengan 10 kekalahan sudah dialami.

Situasi tersebut memaksa pihak pengurusan untuk membawa masuk ketua jurulatih dari Brazil, Ailton da Silva yang pernah menimba pengalaman sekitar Asia Tenggara.

Jadi, rombakan semestinya menjadi antara agenda utama Kelantan United dan rekrut dari Korea Selatan boleh dijadikan sebagai batu asas bagi perubahan berkenaan.

2. Kedah Darul Aman FC

Selain meluangkan masa di sekitar Pantai Timur, Leo Jeong juga sempat menonton perlawanan di sekitar Lembah Klang untuk menilai pasukan yang boleh menerima seorang import baharu.

Antara perlawanan yang disaksikan ejen tersebut adalah ketika aksi antara Kedah Darul Aman (KDA) FC dan Selangor FC yang diadakan di Stadium MBPJ, Selangor pada 24 Mei.

Pertembungan epik itu menyaksikan tuan rumah membawa pulang tiga mata penuh selepas bergelut sepanjang perlawanan dengan keputusan akhir ialah 3-2 berpihak kepada mereka.

Namun, Leo Jeong yang hadir dalam aksi itu sempat bertemu pemilik KDA FC, Tan Sri Mohd Daud Bakar yang turut hadir di stadium berkenaan.

WhatsApp Image 2023-06-23 at 20.14.55

Leo Jeong (kiri) bersama Daud Bakar selepas aksi Liga Super antara KDA FC dan Selangor FC. Instagram/leo_jeong10

Pertemuan tersebut berlaku sejurus selepas wisel penamat ditiupkan dengan individu dari Korea Selatan itu mengambil keputusan berbincang beberapa perkara mengenai hala tuju kelab.

Walaupun perkara lanjut tidak didedahkan, ia tidak menghalang orang ramai daripada menimbulkan spekulasi berkaitan tempoh singkat itu.

Ketika ini, slot import Asia untuk skuad Sang Kenari sedang diisi oleh pemain tengah kelahiran Tajikistan, Amirbek Juraboev yang memainkan peranan penting buat mereka.

Namun, sekiranya kelab Utara tanah air itu bercita-cita untuk menyuntik dimensi baharu dari Asia Timur, slot dalam Piala MFL dilihat cukup sesuai.

3. Sri Pahang FC

Di samping meluangkan masa di stadium, Leo Jeong juga sempat melawati beberapa padang latihan untuk menilai sekiranya ia sesuai buat pemain dari Korea Selatan.

Tapak latihan Sri Pahang FC merupakan salah satu destinasi buatnya apabila dia berkongsi satu foto memaparkannya dengan ketua jurulatih kelab itu, Fandi Ahmad.

Tidak cukup dengan itu, satu lagi hantaran lain dibuat Leo Jeong dengan kali ini ia memaparkan ejen berkenaan bersama beberapa lagi staf kejurulatihan, termasuk pengurus Tok Gajah, Datuk Dollah Salleh.

WhatsApp Image 2023-06-23 at 20.14.55 (1)

Leo Jeong sempat bergambar dengan Fandi Ahmad. Instagram/leo_jeong10

Perkara itu seakan-akan memberi mesej bahawa pasukan yang berada di tangga keempat Liga Super tersebut cukup serius untuk membawa masuk import baharu dari negara berkenaan.

Ketika ini, Sri Pahang FC turut memiliki dua import Korea Selatan iaitu Lee Ji-yong dan Lee Jeong-geun dengan kedua-dua mereka pernah beraksi bersama pasukan senior.

Tetapi, sumbangan mereka masih belum berada di tahap terbaik memandangkan masing-masing masih mempunyai kelemahan ketara, termasuk dari segi fizikal.

Namun, seperti dikatakan di atas, keberadaan mereka ketika sesi latihan boleh memberikan satu kelebihan dengan pemain tempatan mampu didedahkan dengan ilmu-ilmu baharu.

Jadi, sekiranya skuad Tok Gajah mahu membawa masuk beberapa pemain lain, import dari Korea Selatan dilihat sebagai alternatif terbaik. Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram