Kecemerlangan Seonung buka laluan 2 import Korea Selatan ke Perak FC


  • Podium
  • Khamis, 01 Jun 2023

Seonung (tengah) kini sedang dalam proses pemulihan selepas kecederaan serius yang dialaminya. — Facebook/Perak FC

DESAKAN dan keluhan penyokong Perak FC akhirnya didengari pihak pengurusan selepas memutuskan untuk menggugurkan ketua jurulatih berpengalaman, Datuk Lim Teong Kim pada hujung bulan lalu.

Kekosongan jawatan itu diisi pengendali skuad Bawah 23 tahun (B-23) Perak FC, Yusri Che Lah dengan status ketua jurulatih sementara dan perlawanan bertemu Terengganu FC (TFC) pada Sabtu ini bakal menjadi ujian pertamanya.

Keputusan yang dibuat selepas mengambil kira prestasi Teong Kim dalam 12 perlawanan Liga Super itu pastinya bertujuan untuk membawa transformasi kepada skuad The Bos Gaurus (TBG) menjelang pusingan kedua nanti.

Selepas berita pengguguran Teong Kim itu, penyokong Perak FC sekali lagi dihidang dengan berita menggembirakan apabila difahamkan skuad Seladang bakal menerima dua pemain baharu bagi membantu memperkukuh lagi pasukan berkenaan.

Berita gembira itu dikongsikan oleh ejen berpangkalan di Korea Selatan, Myeongho Jeong yang memuat naik foto dua pemain tak dikenali dengan kedua-dua mereka menyarung jersi Perak FC.

“Ramai pemain Korea baharu dalam Liga Super Malaysia. Saya cabar awak (pemain baharu). Saya harap anda melakukan yang terbaik dan mencapai matlamat anda. Semoga berjaya,” tulis Jeong yang juga Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) JMH Sports Agency.

WhatsApp Image 2023-06-01 at 15.45.01

Tangkap layar hantaran dari Jeong. — Instagram @leo_jeong10

Menjengah di ruangan komen, rata-rata penyokong membuat andaian bahawa kedua-dua individu yang dipercayai dibawa masuk dari negara K-Pop itu merupakan pemain percubaan sebelum diserap masuk pada jendela perpindahan kedua nanti.

Kepercayaan pihak pengurusan untuk menerima dua pemain dari Korea Selatan itu dalam tempoh percubaan dipercayai berlaku selepas melihat prestasi cemerlang tonggak TBG dari negara sama, Seo Seonung.

Penyerang berusia 22 tahun itu mempamerkan aksi cukup bersemangat, selain berhasil menunjukkan ketajamannya di hadapan pintu gol dengan menyumbang tiga jaringan dalam tujuh perlawanan dia diturunkan.

Akaun golnya bersama skuad TBG dibuka ketika Seonung mencetak dua gol ketika bertemu Kuching City FC dan jaringan itu semakin berharga apabila dia menjadi watak utama menghadiahkan kemenangan pertama buat skuad Seladang.

Sebelum dia disahkan mengalami kecederaan serius pada April, tonggak sayap itu sempat menyumbang satu lagi jaringan gol pada perlawanan menentang Penang FC yang berakhir dengan kemenangan 3-1 memihak kepada Harimau Kumbang. Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram