BERTEBARAN di media sosial ketika ini mengenai gosip perpindahan yang bakal menyertai pasukan-pasukan Liga Super baik dari dalam mahupun dari luar negara.
Meskipun jendela itu akan dibuka sehingga awal Ogos nanti, pemilihan yang tepat pasti mahu dibuat bagi mengelakkan pembaziran sehingga merugikan kelab masing-masing.
Ketika ini, khabar angin yang paling hangat bertiup adalah apabila jaguh bola sepak tempatan, Johor Darul Takzim (JDT) sejak awal musim difahamkan cuba mendapatkan penyerang bertaraf dunia, Radamel Falcao.
Ia berikutan beberapa perjumpaan yang dibuat pihak pengurusan, termasuk Tunku Mahkota Johor (TMJ) Tunku Ismail Sultan Ibrahim bersama pemain berkenaan.
Malah, perkara tersebut juga sering dimainkan beberapa agensi bola sepak antarabangsa yang mengatakan bekas penyerang Chelsea dan Manchester United itu semakin hampir untuk mewarnai Liga Malaysia.
Falcao (kiri) pernah bertemu TMJ beberapa kali sebelum ini. — Instagram/hrhcrownprinceofjohor
Kehadirannya dilihat bukan sahaja dapat menaikkan taraf serta reputasi JDT kerana ia juga akan memberi satu pendedahan baharu terhadap liga tempatan di peringkat global.
Namun khabar tersebut ternyata meleset apabila Falcao menandatangani kontrak lanjutan selama setahun bersama kelab La Liga, Rayo Vallecano, sekali gus menamatkan impian peminat Liga M melihat kelibat bekas bintang Manchester United itu beraksi di kancah liga negara ini.
Tetapi, hal itu bukanlah sesuatu yang baharu memandangkan perkara sama juga pernah berlaku dalam Liga Malaysia apabila seorang pemain bertaraf global dikaitkan dengan beberapa pasukan tanah air.
Meskipun ia tidak terjadi dengan terlalu kerap, masih terdapat tiga memori pahit manis sukar dilupakan apabila nama-nama besar dikaitkan dengan tiga kelab Liga Super.
1. Ronaldinho (Perak FA)
Ronaldo de Assis Moreira, atau lebih dikenali sebagai Ronaldinho tidak perlu diperkenalkan lagi kepada peminat bola sepak di seluruh dunia.
Di samping pernah memenangi Anugerah Ballon d'Or pada 2005, bintang antarabangsa Brazil berkenaan juga pernah menjulang pelbagai trofi, termasuk Liga Juara-Juara UEFA (UCL) pada 2006 serta Piala Dunia 2002.
Tidak cukup dengan itu, pemain sayap tersebut juga pernah mewakili beberapa pasukan terkenal, seperti Barcelona dan AC Milan, sekali gus mengesahkan lagi status legendanya dalam sukan terbabit.
Namun, masih ingatkah anda bahawa terdapat khabar angin yang mengatakan Ronaldinho pernah menyatakan hasratnya untuk menyertai pasukan Liga Super, iaitu Perak FA.
Ronaldinho dipilih sebagai pemain terbaik dunia pada 2005. — Agensi
Khabar angin tersebut berpunca daripada minat yang ditunjukkan untuk menyertai mana-mana kelab Liga Malaysia selepas teruja melihat keghairahan peminat bola sepak tanah air ketika satu lawatan pada 2018.
Malah, pemain yang cukup terkenal dengan senyuman di atas padang itu juga berkata, dia terbuka untuk menyertai mana-mana kelab meskipun terpaksa bermain secara percuma.
Hal tersebut menjadikan skuad Presiden Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA) ketika itu, Hasnul Zulkarnain Abdul Munaim turut menyatakan hasratnya untuk menyaksikan Ronaldinho menyarung jersi skuad TBG.
Ia berikutan kejayaan mereka untuk layak ke pusingan kelayakan Liga Juara-juara AFC (ACL) selepas menamatkan saingan Liga Super di tangga kedua.
Bagaimanapun, hasrat orang ramai untuk melihat pemain sayap lincah berkenaan tidak kesampaian apabila kedua-dua pihak tidak pernah melakukan sebarang proses rundingan.
2. Mesut Ozil (JDT)
Status serta reputasi JDT di peringkat global sememangnya sukar untuk dipersoalkan memandangkan TMJ sering memberi penekanan terhadap aspek berkenaan.
Namun, dengan pihak pengurusan masih bercita-cita besar, tidak hairanlah apabila mereka sering melakukan percubaan untuk mendapatkan seorang pemain yang dikenali ramai.
Seperti dibincangkan di atas, kehadiran Falcao dilihat akan meningkatkan lagi pandangan orang ramai terhadap skuad Harimau Selatan dengan namanya cukup megah di mata peminat bola sepak.
Tetapi, Falcao bukanlah pemain berstatus 'superstar' pertama yang pernah dikaitkan dengan JDT apabila pemain tengah antarabangsa Jerman, Mesut Ozil juga pernah dikaitkan dengan kelab itu.
Ozil pernah mewakili beberapa pasukan terkenal di sekitar Eropah. — Agensi
Khabar angin tersebut timbul pada musim lalu dengan sebuah portal antarabangsa mengaitkan kedua-dua pihak ketika kelab itu sedang beraksi di peringkat kalah mati ACL.
Ozil yang ketika itu berstatus ejen bebas selepas kontraknya ditamatkan kelab Turki, Fenerbahce difahamkan sedang giat mencari kelab baharu dengan usianya baru sahaja mencecah 33 tahun.
Namun, ura-ura tersebut segera ditepis TMJ dalam satu sesi temu bual bersama penyokong dengan mengatakan pemain itu tidak mempunyai semangat berpasukan yang tinggi.
Hal berkenaan sedikit sebanyak mengecewakan peminat bola sepak tempatan memandangkan Ozil cukup dikenali sepanjang kariernya bersama Real Madrid dan Arsenal.
Malah, sumbangannya di peringkat antarabangsa juga tidaklah terlalu mengecewakan memandangkan dia boleh dianggap sebagai tonggak untuk skuad Jerman ketika Piala Dunia 2014.
3. Jesper Blomqvist (Selangor)
Pasti rata-rata daripada penyokong bola sepak tanah air hari ini kurang atau tidak mengenali pemain tengah kelahiran Sweden, Jesper Blomqvist.
Tetapi, tahukah anda bahawa dia merupakan salah seorang yang diturunkan pengurus legenda Manchester United, Sir Alex Ferguson untuk perlawanan akhir UCL 1999?
Meskipun hanya terikat dengan skuad The Red Devils untuk dua musim, Blomqvist berjaya merekodkan 38 penampilan dalam tempoh tersebut dengan kebolehannya untuk beraksi dalam beberapa posisi.
Namun, bagi peminat bola sepak tempatan, nama pemain yang kini sudah berusia 49 tahun itu pernah meniti bibir orang ramai apabila dia menyarung jersi Selangor kira-kira 12 tahun lalu.
Blomqvist ketika beraksi buat Pilihan Selangor dalam aksi Piala Sultan Selangor. — Agensi
Dia yang ketika itu bergelar seorang jurulatih di Sweden dipelawa Persatuan Bola Sepak Selangor pada 2011 untuk aksi Piala Sultan Selangor di Stadium Shah Alam, Selangor menentang Pilihan Selangor.
Dalam perlawanan tersebut, Blomqvist diturunkan di samping beberapa nama besar, seperti bekas pemain Liverpool, Jason McAteer serta bekas penyerang tempatan, Safee Sali.
Bagaimanapun, mereka tewas dengan keputusan tipis 0-1 dengan jaringan sendiri daripada Asrarudin Putra Omar memisahkan kedua-dua pasukan.
Meskipun terdapat khabar angin yang mengatakan pemain tengah Sweden tersebut akan menyertai skuad Gergasi Merah selepas perlawanan itu, ia dilihat tidak lebih daripada ura-ura daripada media serta peminat bola sepak tempatan.
Di samping usianya ketika itu sudah mencecah 37 tahun, Blomqvist yang sudah bergelar jurulatih juga dilihat tidak mahu kembali menyarung but selepas mengumumkan persaraan pada 2010. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram