WALAUPUN Johor Darul Takzim kini sudah mencengkam arena bola sepak tempatan, mereka seperti masih belum cukup puas dengan pencapaian itu.
Ini kerana visi yang diletakkan pemilik kelab, Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Idris Sultan Ibrahim yang berharap agar kebolehan mereka disedari di peringkat global.
Berdasarkan perkongsian sebelum ini, sasaran yang diletakkan juara sembilan kali Liga Super berturut-turut itu adalah untuk menjulang Liga Juara-Juara AFC (ACL).
Musim lalu, JDT mencipta sejarah tersendiri apabila muncul sebagai pasukan tempatan pertama layak ke peringkat kalah mati dalam pertandingan berkenaan.
Namun, mereka masih belum mampu menandingi wakil dari Jepun, Urawa Red Diamonds yang menyingkirkan skuad Harimau Selatan dengan keputusan 0-5.
JDT tersingkir kepada Urawa Red Diamonds ketika peringkat 16 pasukan ACL 2022.
Oleh itu, TMJ serta pihak pengurusannya pasti berharap untuk menguatkan lagi pasukan Selatan tanah air itu dengan membawa masuk seorang dengan pengalaman cukup luas.
Berdasarkan khabar angin ketika ini, JDT dikaitkan dengan penyerang antarabangsa Colombia, Radamel Falcao selepas dia tidak lagi terikat dengan mana-mana pasukan.
Kali terakhir pemain tersebut bermain secara profesional adalah ketika bersama kelab Sepanyol, Rayo Vallecano yang disertainya pada 2022.
Bagaimanapun, statusnya bersama kelab berkenaan semakin menimbulkan tanda tanya memandangkan kontraknya hanya berbaki sehingga 30 Jun ini.
Jadi, tidak hairanlah apabila khabar angin mula mengaitkan bekas kapten skuad kebangsaan Colombia tersebut dengan gergasi bola sepak tanah air itu.
Tetapi, sehingga kini, JDT masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan mengenai kehadiran pemain berusia 37 tahun itu bertujuan untuk menghormati kontraknya bersama Rayo Vallecano.
Namun, khabar angin berkenaan semakin kuat bertiup apabila Falcao sempat bertemu dengan pengendali skuad Harimau Selatan, Esteban Solari.
Solari berkongsi satu foto yang memaparkannya di samping Radamel Falcao. — Instagram/tano_solari
Berdasarkan satu perkongsian di Instagram jurulatih kelahiran Argentina itu, penyerang terbabit sempat meluangkan masa dengan beberapa staf kejurulatihan JDT.
"Satu penghargaan untuk bertemu dengan anda dan berbual-bual. Satu kualiti dari segi bola sepak dan secara personaliti. Terima kasih atas lawatan anda," tulis pengendali berkenaan.
Sepanjang beberapa tahun di Eropah, Falcao pernah mewakili beberapa kelab, termasuk Manchester United dan Chelsea yang beraksi dalam Liga Perdana Inggeris (EPL).
Pengalamannya juga bukanlah sesuatu yang boleh dipandang rendah memandangkan dia pernah bergelar sebagai salah seorang peledak paling berbisa sehingga membolehkannya menerima jolokan 'El Tigre'.
Sehingga kini, rekodnya dalam Liga Eropah UEFA (UEL) juga terus diingati apabila Falcao berada di kedudukan kedua dalam penjaring terbanyak sepanjang zaman pertandingan.
Bagi JDT pula, mereka kini mempunyai salah sebuah skuad terbaik dalam sejarah penubuhan selepas terlalu mudah membolosi gawang pihak lawan.
Jentera serangan mereka kini diterajui penyerang kelahiran Brazil, Bergson da Silva dengan ia kadang-kadang diisi pemain import senior, Diogo Luis Santo. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram