BARU-BARU ini kelibat bintang bola sepak Colombia, Radamel Falcao kelihatan sudah berada di Johor Bahru, Johor bersama pasukan gergasi Liga Malaysia (Liga M), Johor Darul Takzim (JDT).
Kehadiran bekas penyerang Atletico Madrid itu dikongsikan pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim menerusi laman Instagram miliknya sekali gus menguatkan spekulasi pemain itu bakal menyertai skuad Harimau Selatan.
"El Tigre sudah berada di sini," kata Tunku Ismail yang turut berkongsi gambar Falcao menandatangani jersinya baru-baru ini.
Dengan jendela perpindahan kedua Liga M bakal dibuka awal bulan depan, tidak mustahil sekiranya Falcao menjadi rekrut JDT bagi menambah sengat pasukan yang akan beraksi di Liga Juara Juara Asia (ACL) itu.
Sebelum ini, penyerang berusia 37 tahun itu dikatakan hampir sah menyertai keluarga JDT selepas Tunku Ismail membuat ciapan di Twitter menyatakan akan berjumpa dengan pemain itu sambil 'tag' nama Falcao dan ejen bola sepak, Morris Pagniello.
Tangkap layar Insta Story Jeong di Instagram pada Isnin.
Namun apa yang lebih menarik ialah reaksi daripada ejen Choi Moon-sik, Leo Jeong menerusi Instagram peribadinya berkaitan perpindahan Falcao ke JDT pada Isnin.
Jeong memuat naik satu Insta Story gambar Falcao berserta caption yang ditulis dalam tulisan Korea.
Terjemahan yang dirujuk oleh Majoriti mendapati, Jeong mendakwa perpindahan Falcao ke JDT merupakan satu pembaziran.
Tetapi tidak dipastikan adakah terjemahan itu tepat menterjemahkan tulisan yang digunakan Jeong di dalam Instagram.
Sebagai rekod, Falcao adalah antara penyerang paling berbisa ketika zaman kegemilangannya dan pernah beraksi bersama pasukan besar di Eropah seperti Porto, Monaco, Manchester United dan Chelsea. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram