Bergson ada syarat, Ifedayo perlu tanya Nafuzi Zain — Azraai Khor


  • Podium
  • Ahad, 18 Jun 2023

Bergson memenangi Anugerah Kasut Emas Liga Malaysia pada musim lalu, manakala Ifedayo pada saingan 2021.  

KEPUTUSAN Kedah Darul Aman (KDA) FC melepaskan Willian Lira semakin diterima oleh para penyokong walaupun pada awalnya sebahagian pengikut Sang Kenari agak kurang menerima hakikat tersebut susulan prestasi cemerlangnya dalam beberapa aksi terakhir.

Buktinya, dalam enam aksi terakhir bersama pasukan berpangkalan di Utara air itu, Lira merekodkan lima jaringan untuk KDA FC iaitu dua gol ketika menang ke atas Negeri Sembilan FC dan satu gol dari setiap perlawanan Kelantan FC, Perak FC serta Selangor FC.

Berdasarkan kenyataan rasmi daripada Sang Kenari pada Jumaat lalu, KDA FC dan Lira mencapai persetujuan bersama untuk berpisah selepas melalui beberapa perbincangan mendalam antara kedua-dua belah pihak.

Selepas berita perpisahan Lira diketahui penyokong Hijau Kuning, khabar angin pengganti pemain kelahiran Brazil turut menjadi santapan pemain ke-12 KDA FC yang mana beberapa nama penyerang difahamkan akan memperkukuh jentera serangan skuad Seladang.

Antara nama penyerang prolifik yang dikaitkan akan tiba di Darul Aman pada jendela perpindahan pada Julai nanti ialah bekas peledak Selangor FC, Ifedayo Olusegun dan pemenang kasut emas musim lalu, Bergson Da Silva.

Status Ifedayo yang kini tidak terikat dengan mana-mana pasukan selepas kali dilihat beraksi bersama Melaka United menguatkan khabar angin bahawa Kedah akan merekrut khidmatnya.

Manakala, bagi Bergson pula dikatakan pemain berusia 32 tahun itu akan dipinjamkan dari Johor Darul Takzim (JDT) susulan khabar angin ketibaan bintang Columbia, Radamel Falcao ke Harimau Selatan pada jendela perpindahan Julai ini.

WhatsApp Image 2023-06-18 at 19.32.21-2

Nafuzi pasti mencari penyerang yang sesuai dengan taktikalnya. — Facebook/KDAFC

Memberi pandangan mengenai khabar angin ketibaan dua bintang itu, bekas jurulatih Sang Kenari, Azraai Khor Abdullah berkata, barisan kejurulatihan dan pengurusan perlu melihat beberapa perkara sebelum membuat keputusan.

“Kena tanya Nafuzi Zain sama ada corak permainan Ifedayo sesuai dengan Kedah punya taktikal. Nafuzi yang akan nilai sesuai tak dengan calon yang nak datang.

“Sudah tentu kalau pemain pinjam dari JDT pula ada syarat-syaratnya yang mana Kedah boleh terima atau tidak. Saya rasa pihak Kedah lebih arif apa mereka nak,” katanya kepada Majoriti.

Dalam pada itu, saat ditanya mengenai berita perpisahan Lira, jurulatih berusia 70 tahun itu menganggap ia adalah satu keputusan yang wajar dibuat pihak pengurusan untuk mencari penyerang lebih berkualiti.

Malah, faktor Lira yang secara kebetulan difahamkan mendapat tawaran ke Liga Thailand juga menjadikan hasrat untuk Sang Kenari mencari penyerang baharu tercapai.

Lira difahamkan akan meneruskan karier profesionalnya dengan menyertai kelab dari negara jiran, Thailand menjelang perlawanan Liga 1 Thailand pada Ogos nanti.

WhatsApp Image 2023-06-18 at 19.32.22

Lira difahamkan akan menyertai kelab dari negara jiran, Thailand. — Facebook/KDAFC

“Kita tak boleh kata satu kerugian, apa yang penting Kedah bertindak untuk memilih pemain yang lebih baik daripada dia. Mungkin ada beberapa perkara yang buatkan pengurusan rasa dia (Lira) tak cukup mantap.

“Bagi saya apabila pihak pengurusan Kedah buat keputusan nak tukar Lira untuk pemain yang lebih baik dan kebetulan mencapai kata sepakat Lira dapat tawaran dari Liga Thailand, ia sejajar dengan hasrat untuk cari striker yang lebih menyengat dan lebih berprestij,” ujarnya.

Apa pun keputusan pihak pengurusan, pastinya mereka mencari penyerang yang boleh mengatasi rekod Lira sebagai penjaring terbanyak dengan lapan jaringan dan dua bantuan hantaran dalam 14 perlawanan sepanjang aksi Liga Super. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram