MESKIPUN tarikh rasmi jendela perpindahan kedua belum dibuka secara rasmi, Kedah Darul Aman (KDA) FC membuat kejutan apabila melepaskan penyerang import, Willian Lira selepas mencapai persetujuan bersama.
Menerusi laman Facebook rasmi Sang Kenari, kedua-dua pihak mencapai persetujuan bersama untuk berpisah selepas beberapa perbincangan dilakukan antara pasukan Hijau Kuning dan penyerang dari Brazil itu.
Keputusan pihak pengurusan untuk melepaskan pemain berusia 29 tahun itu sedikit sebanyak memberi persoalan kepada para penyokong yang semakin menyukainya berikutan Lira merupakan penjaring terbanyak Sang Kenari dalam kancah Liga Super.
Walaupun pada awalnya penyokong kurang menggemarinya sebagai peledak utama namun Lira membuktikan kepakarannya dengan merekodkan lapan jaringan dan dua bantuan hantaran dalam 14 perlawanan sepanjang aksi Liga Super.
Berdasarkan khabar angin, Lira difahamkan akan meneruskan karier profesionalnya dengan menyertai kelab dari negara jiran, Thailand menjelang perlawanan Liga 1 Thailand pada Ogos nanti.
Keputusan mengejutkan dari pihak pengurusan itu membuatkan penyokong mulai membuat pelbagai teka-teki mengenai siapakah yang sesuai mengambil posisi penyerang berketinggian 1.85 meter tersebut.
Tidak perlu memandang terlalu jauh untuk mencari calon pengganti Lira, berikutan beberapa peman import yang pernah dan sedang beraksi di saingan Liga Malaysia wajar menjadi penyerang baharu Kedah.
1) Bergson Da Silva
Bergson difahamkan akan dipinjamkan ke Kedah pada jendela perpindahan kedua. — Facebook/JDT
Siapa tidak mengenali penyerang Harimau Selatan, Bergson Da Silva yang mempunyai rekod dan prestasi cemerlang dalam sejarah import di Johor Darul Takzim (JDT) mahupun dalam arena domestik.
Buktinya pada musim 2022, import dari Brazil itu mencipta sejarah baharu iaitu menjadi penjaring terbanyak dalam satu musim di saingan Liga Super dengan 29 gol dan sekali gus diberikan Anugerah Kasut Emas di tahun sama.
Walaupun musim ini dari segi statistik gol menunjukkan nasib agak tidak menyebelahi pemain berusia 32 tahun itu namun ia bukan ukuran untuk menafikan ketajamannya di hadapan gawang lawan.
Musim ini Bergson terlepas beberapa perlawanan susulan masalah kecederaan menimpa dirinya namun pemain Brazil Bawah 20 tahun itu kembali menemui sentuhannya dan mencetak sembilan jaringan selepas 10 aksi Liga Super.
Namun menjadi persoalan mengenai masa depan Bergson bersama JDT susulan hangat diperkatakan juara bertahan Liga Super itu sedang dalam proses membawa bintang Columbia, Radamel Falcao pada jendela perpindahan Julai ini.
Perebutan minit permainan dan posisi serangan bakal menjadi masalah di JDT susulan kehadiran Falcao, Diogo Santo serta Fernando Forestieri, dan disebabkan itu adalah tidak mustahil jika Bergson dipinjamkan ke beberapa kelab seperti Kedah.
2) Jorge Pereyra Diaz
Diaz sebelum ini menyarung jersi JDT bermula pada musim 2014. — Facebook/JDT
Pemain yang pernah menjadi pemegang status penjaring terbanyak Harimau Selatan untuk tempoh semusim dengan rekod 18 jaringannya semasa Liga Super 2016, Jorge Pereyra Diaz masih menjadi pemain idaman beberapa Liga Super.
Selama tiga musim beraksi bersama pasukan berpangkalan di Selatan tanah air bermula pada 2014 itu, Diaz mencatat sebanyak 48 jaringan sebelum berhijrah ke kelab Argentina, Lanus.
Kini, Diaz turut beraksi di posisi penyerang dan sayap bersama Mumbai City FC yang merupakan kelab di peneraju Liga Super India (ISL) dengan 11 jaringan gol dalam 18 penampilan pada musim 2022/2023.
Walaupun kini pemain berusia 32 tahun masih diikat kontrak sehingga MeI 2024 namun kelab Liga Super seperti Kedah yang menginginkannya perlu membayar tebus kontrak sekurang-kurangnya RM2.32 juta.
Sang Kenari nampaknya akan bersaing sengit dengan Sabah FC dalam misi memburu penyerang berkualiti seperti Diaz berikutan sebelum ini pemain kelahiran Argentina itu turut dikaitkan dengan The Rhinos.
3) Ebenezer Assifuah
Assifuah beraksi bersama skuad simpanan KDA FC B. — Facebook/KDA FC
Tidak perlu mengeluarkan perbelanjaan seperti Diaz dan bebas beraksi tanpa syarat seperti Bergson, penyerang dari skuad simpanan Kedah, Ebenezer Assifuah merupakan calon paling sesuai menggantikan Lira sebagai penyerang utama.
Nama pemain berusia 29 tahun itu semakin disebut-sebut penyokong Hijau Kuning terutamanya selepas melihat aksi cemerlangnya bersama KDA FC B dalam saingan Piala MFL 2023.
Setakat lapan perlawanan Piala MFL 2023, Assifuah merupakan penjaring terbanyak dengan merekodkan 10 jaringan gol untuk pasukan KDA FC B dalam lapan perlawanan dia diturunkan.
Sebelum ini, Nafuzi pernah meminta kepada penyokong Hijau Kuning untuk bersabar menunggu kehadirannya kerana pihak kejurulatihan tidak mahu membantutkan perkembangannya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram