Jeneral tengah Terengganu dipelawa kembali ke kelab 'seberang'


  • Podium
  • Selasa, 02 Mei 2023

Omid (kanan) bergelut untuk mendapatkan minit permainan sejak tiba di kelab Pantai Timur itu. — Facebook/Terengganu FC

ROMBAKAN besar-besaran dibuat Terengganu FC memandangkan mereka layak ke Piala AFC 2023 di samping beberapa pemain mereka mengambil keputusan menamatkan kontrak masing-masing.

Hal itu dibuat bagi menghidupkan peluang untuk pasukan Pantai Timur tersebut beraksi dengan lebih baik di peringkat Asia dan memastikan mereka mampu mengulangi kejayaan musim lalu.

Bagaimanapun, selepas 10 perlawanan dalam Liga Super, skuad Sang Penyu masih bergelut untuk mencari kesebelasan utama di bawah kendalian Tomislav Steinbruckner.

Kebuntuan di posisi tersebut cukup menyukarkan pihak kejurulatihan untuk mencari resipi terbaik dengan Terengganu FC terus bergelut dalam aspek serangan mahupun pertahanan.

Kehadiran pemain naturalisasi, Liridon Krasniqi serta perancang kelahiran Croatia, Domagoj Pusic seperti tidak memberi pulangan seperti mana yang diharapkan.

Jadi, ia pasti meruntuhkan moral penyokong yang tidak henti-henti memberi sorakan buat pasukan apabila mereka pastinya mahu melihat aksi terbaik di atas padang.

Namun, apa yang lebih mengecewakan adalah keputusan Tomislav untuk terus meletakkan bekas pemain Negeri Sembilan FC, Omid Nazari di bangku simpanan.

WhatsApp Image 2023-05-02 at 11.32.40

Omid hanya mengumpul dua penampilan bersama skuad Sang Penyu musim ini.Facebook/Terengganu FC

Meskipun pemain berusia 32 tahun itu bukanlah tonggak utama skuad Jang musim lalu, percubaan semestinya boleh dilakukan memandangkan skuad Sang Penyu masih bergelut setakat ini.

Setakat 10 perlawanan, Omid hanya diturunkan dari bangku simpanan sebanyak sekali dalam saingan Liga Super, namun tampil dalam kesebelasan utama pasukan ketika saingan Piala FA menentang Melaka FC.

Oleh itu, dengan jendela perpindahan kedua bakal dibuka Julai akan datang, terdapat kemungkinan pemain antarabangsa Iran terbabit bakal meninggalkan kelab berkenaan.

Tetapi, memandangkan reputasinya tidaklah begitu menarik sepanjang dua tahunnya di Liga Malaysia, terdapat kemungkinan Omid akan mencari destinasi baharu dalam kariernya.

Baru-baru ini, muncul sebuah pasukan yang sepertinya berminat untuk mendapatkan khidmat pemain dengan ketinggian 1.84 meter itu.

Pasukan di tangga ketiga Liga 1 Indonesia, Persib Bandung sepertinya satu destinasi terbaik memandangkan Omid pernah beraksi bersama kelab berkenaan selama dua musim, iaitu dari 2019 hingga 2021.

Minat tersebut diluahkan sebuah laman Facebook penyokong, INFO persib terbaru yang mahu pihak pengurusan cuba membawa kembali pemain itu menjelang jendela perpindahan mereka.

343345394_964895918285681_455521409584469229_n

Omid pernah bergelar sebagai pemain tengah Persib Bandung selama dua musim.Agensi

"Negara Filipina, namanya berbunyi seperti seseorang yang berasal dari negara Arab, tetapi wajahnya seperti seorang Indonesia tulen," katanya.

Pandangan tersebut sememangnya menarik perhatian ramai pihak yang bersetuju sekiranya Omid sekali lagi menyarung jersi Persib Bandung.

"Pemain yang jarang memegang bola, namun cukup berpengaruh dalam permainan. Harapnya dapatlah info ini sampai kepada Omid," kata Denii.

"Kalau boleh, bawa semula Omid untuk mengawal posisi tengah bersama Persib Bandung. Mentalitinya cukup bagus," kata Priiadi Adi.

"Bawalah dia ni kembali ke Liga 1, di Terengganu FC, dia sepertinya tidak memberi sebarang kebaikan," kata Abam Raymi.

Sepanjang bersama kelab Indonesia itu, Omid kerap diturunkan, termasuk beberapa kali ditugaskan untuk turun sebagai kapten pasukan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram