KEDUDUKAN kelapan dalam Liga Super selepas 10 perlawanan pastinya cukup mengecewakan buat Terengganu FC memandangkan mereka muncul sebagai naib juara musim lalu.
Kehilangan pemain dan ketua jurulatih, Nafuzi Zain sebelum pembukaan tirai liga boleh dianggap sebagai permulaan kepada episod gelap buat pasukan Pantai Timur itu.
Tidak cukup dengan itu, keserasian skuad ketika ini juga kerap dijadikan bahan bualan hangat peminat setia kelab dengan ada juga yang mempersoalkan kebolehan ketua jurulatih, Tomislav Steinbruckner.
Harapan mereka untuk menyaksikan kedudukan ketika ini ditambah baik juga seperti berdepan cabaran besar memandangkan skuad Sang Penyu bakal bertemu Sabah FC untuk aksi minggu ke-11 Liga Super 2023 pada Jumaat.
Pasukan Borneo itu sedang berada dalam prestasi terbaik selepas mencatatkan kemenangan bergaya 2-1 ke atas Selangor FC dalam aksi liga 27 April lalu.
Tambahan pula, kesemua lima perlawanan yang berlangsung di Stadium Likas, Sabah berkesudahan dengan tiga mata buat skuad Sang Badak.
Adisak merupakan antara tonggak utama skuad Sang Penyu musim ini. — Facebook/Terengganu FC
Keadaan berbeza pula dihadapi Terengganu FC yang mencatatkan dua kekalahan berturut-turut, termasuk persembahan longlai dalam aksi 'Derby Pantai Timur' di tangan Sri Pahang FC pada 28 April.
Ia semestinya satu tekanan buat pemain dan pihak kejurulatihan memandangkan peluang mereka untuk layak ke pentas Asia musim depan semakin samar.
Lebih merisaukan lagi, terdapat kemungkinan besar naib juara Piala FA 2022 tersebut tidak akan menurunkan dua tonggak utama dalam pertembungan dengan Sabah FC.
Menerusi foto yang dikongsikan di laman media sosial rasmi Terengganu FC, penyokong menyedari bahawa Adisak Kraisorn dan Liridon Krasniqi tidak bersama-sama skuad kendalian Tomislav itu.
"Aii, mana pula pemain jersi no 80 (Liridon)? Tanpa dia, tidak sedaplah permainan Terengganu FC," kata Mohd Nizam Abdul Rahman dengan nada bergurau.
"Mat Don tiada nampaknya," kata Hafiz Kamarudin.
Ketiadaan Liridon dalam skuad kendalian Tomislav itu menimbulkan tanda tanya. — Facebook/Terengganu FC
"Di mana pula agaknya Adisak? Yang saya nampak gambar Omid (Nazari) sahaja," kata Abahomestay Shah Alam Ahnaf.
"Alamak, tiada pula si Adisak dalam skuad kali ini, macam mana nak jaringkan gol?" soal Rizal Effendi.
Dalam saingan Liga Super 2023, Adisak yang merupakan penyerang kebangsaan Thailand tampil dalam kesemua perlawanan di samping mengutip dua jaringan dan dua bantuan gol setakat ini.
Bagi Liridon pula, isu konsistensi terus membelenggu pemain pinjaman dari Johor Darul Takzim (JDT) itu sehingga majoriti penyokong mengharapkannya untuk digugurkan daripada kesebelasan utama.
Pemain tengah berusia 31 tahun itu sudah diturunkan sebanyak sembilan kali dengan hanya satu gol berjaya disumbangkan buat pasukan Pantai Timur itu. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram