TFC menang tipis lawan Penang, fans temui 'lord' baharu dalam pasukan


  • Podium
  • Rabu, 24 Mei 2023

Aksi Pusic (tengah) ketika menentang Penang FC pada Rabu mendapat kritikan penyokong TFC. — Facebook/MFL

TERENGGANU FC berjaya menewaskan Penang FC 1-0 dalam aksi Liga Super yang berlangsung di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Terengganu pada Rabu.

Babak pertama perlawanan menyaksikan kedua-dua pasukan buntu untuk mencari jaringan, namun begitu Terengganu dilihat mencipta lebih banyak peluang di hadapan gol pasukan pelawat.

Bersambung babak kedua, penyerang, Engku Nur Shakir yang menggantikan pemain tengah, Omid Nazari akhirnya berhasil meledak gol kemenangan skuad Sang Penyu pada minit ke-74 selepas mendapat lorongan bola daripada Sony Norde.

Selepas mencatat jaringan, anak-anak buah Tomislav Steinbruckner dilihat terus melakukan serangan di kubu skuad Pulau Mutiara, namun kecekapan penjaga gawang, Azfar Arif berjaya menyelamatkan pasukannya daripada mengalami jumlah bolos yang lebih besar.

Di sebalik kemenangan yang diperolehi itu, skuad Pantai Timur masih tidak dapat lari daripada kritikan penyokong yang tidak berpuas hati dengan kegagalan pasukan untuk memperoleh kemenangan yang selesa.

Liridon (kanan) ketika aksi menentang Penang FC pada Rabu. — Facebook/MFL

Antara pemain yang mendapat reaksi negatif daripada peminat TFC pada perlawanan tersebut ialah Domagoj Pusic.

Rata-rata penyokong menyifatkan prestasi pemain berumur 31 tahun itu seakan-akan sudah menyerupai rakan seperjuangannya di bahagian tengah, Liridon Krasniqi yang sebelum ini diberikan gelaran sebagai 'lord'.

"Omid, Pusic tak ada sumbangan, setara ni main baik letak player tempatan Shafik Ismail banyak peluang tapi gitulah kena banyak belajar lagi cara shooting. Asyik naik ke atas saja, Ashaari dulu pun main wing tapi banyak boleh sumbat gol. Begitu juga dengan Joseph Kalang Tie. Harap Shafik Ismail lebih tenang," kata Muhamad Fazrol.

"Macam liga Dun (amatur) main. Liridon Pusic Omid wat (buat) abih (habis) berah (beras)," tulis Dul-Rosidi Ahmad.

"Ada lord baharu pula ke malam ni, bola setting kemah (kemas) dah depan gol palarak shoot atas langit tu," ujar Muhammad Shahril. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram