MESKIPUN sudah melakukan persiapan rapi sebelum permulaan musim Liga Malaysia (M), beberapa pasukan dilihat masih bergelut untuk mencapai prestasi yang diharapkan.
Antara masalah dihadapi adalah kesukaran untuk mencapai keserasian dalam kalangan wajah-wajah baharu dan juga krisis prestasi pemain import yang gagal untuk memenuhi potensi yang diharapkan.
Isu tersebut dapat dilihat jelas berlaku terhadap beberapa pasukan yang membuat rombakan besar-besaran terhadap pasukan masing-masing seperti Terengganu FC dan Kedah Darul Aman (KDA) FC.
Pada masa sama, terdapat juga kelab yang dilihat hanya perlu membuat pertukaran di beberapa posisi tertentu bagi membolehkan pasukan bersaing dengan lebih baik.
Disebabkan itu, waktu jendela perpindahan pertengahan musim yang bakal bermula pada Julai ini merupakan waktu terbaik untuk pihak pengurusan membuat penambahbaikan melalui langkah membawa masuk pemain baharu.
Tentunya, terdapat pelbagai pilihan pemain tersedia dalam pasaran perpindahan pemain kali ini untuk dinilai bagi memastikan mereka dipilih itu benar-benar sesuai dengan keperluan skuad.
Pilihan tersebut tentunya tidak terhad hanya kepada pemain dari liga domestik sahaja, malah juga dari seluruh dunia.
Bagaimanapun, tidak semua pasukan perlu melihat jauh ke luar bagi mendapatkan pemain yang diperlukan bagi memperbaiki pasukan masing-masing.
Ini kerana terdapat beberapa kelab kini dikaitkan dengan berita kemungkinan kepulangan bekas pemainnya yang pernah dilepaskan untuk kembali ke pangkuan pasukan.
Berikut Majoriti senaraikan tiga pemain yang disebut-sebut bakal melakukan reunion bersama bekas pasukannya pada jendela perpindahan musim ini:
1. Petrus Shitembi
Petrus (tengah) berjaya menyumbang 11 hantaran gol dan satu jaringan ketika bersama Terengganu FC pada musim lalu. — Facebook/TFC
Keputusan pengurusan TFC untuk membuat rombakan besar-besaran ketika memasuki musim baharu Liga M ternyata memakan diri selepas pasukan itu kini terjerumus ke kelompok pertengahan di tangga ketujuh liga.
Langkah menukar hampir keseluruhan barisan importnya ternyata agak mengejutkan memandangkan skuad tersebut merupakan kumpulan yang sama membawa skuad Sang Penyu untuk mencapai kedudukan sebagai Naib Juara Liga Super 2022.
Antara yang dilepaskan ialah pemain tengah berpengaruhnya iaitu Petrus Shitembi yang merupakan antara individu berpengaruh membawa pasukan mengharungi saingan liga pada musim lalu dengan cemerlang.
Untuk rekod, pemain tengah kreatif kelahiran Namibia itu berjaya mencatatkan 11 bantuan gol dan satu jaringan daripada 19 aksinya bersama Terengganu FC pada musim lalu.
Selepas dilepaskan pada musim lalu, pemain kebangsaan Namibia yang berusia 31 tahun itu masih tidak mengikat kontrak bersama mana-mana pasukan.
Disebabkan itu, rata-rata peminat mengharapkan agar pihak pengurusan membuat usaha bagi memikat semula Petrus bagi memperkukuhkan prestasi bahagian tengah pasukan yang kini dilihat masih begitu menyakinkan.
Pada waktu ini, beberapa pemain tengah baharu yang direkrut seperti Liridon Krasniqi dan Omid Nazari sering mendapat kritikan daripada peminat ekoran prestasi mereka yang kurang memuaskan.
2. Ronald Ngah Wanja
Ronald Ngah (tengah) ketika beraksi bersama KDA FC. — Facebook/KDAFC
Skuad Sang Kenari baru sahaja kehilangan penyerang utamanya pada musim ini Willian Lira selepas kelab itu pada 16 Jun lalu secara mengejut mengumumkan bahawa pemain tersebut dilepaskan daripada pasukan.
Langkah tersebut secara langsung menyaksikan terdapat satu kekosongan yang perlu diisi oleh KDA FC pada jendela perpindahan musim ini.
Ketua Jurulatih skuad Sang Kenari, Nafuzi Zain berkata, perkembangan tersebut dijangkan tidak akan menjejaskan barisan seranghan pasukannya memandangan terdapat dua lagi penyerang boleh digunakannya iaitu Jonathan Balotelli dan Ebenezer Assifuah yang kini beraksi bersama KDA FC B.
Namun begitu, melihat kepada rekod kedua-dua pemain tersebut, ia tidak begitu menyakinkan apatah lagi skuad Negeri Jelapang Padi itu memerlukan penyerang yang benar-benar kompetitif untuk bersaing di kelompok teratas liga.
Dalam perbincangan mengenai perkara tersebut, antara nama yang disebut-sebut berpotensi untuk direkut KDA FC ialah bekas penyerangnya pada musim lalu iaitu Ronald Ngah Wanja.
Sumbangan pemain kelahiran Cameroon berusia 31 tahun yang berjaya mencetak 15 jaringan dan lima bantuan gol pada saingan Liga M 2021/2022 sememangnya tidak mudah untuk dilupakan peminat setia Hijau Kuning.
Disebabkan itu, kemungkinan kepulangan Ronald Ngah bagi kembali memperkuatkan skuad Sang Kenari pastinya sesuatu yang ditunggu-tunggu dan bakal diterima baik dalam kalangan penyokong.
Penyerang tersebut kini bersama kelab Al-Khor SC yang beraksi di Liga Qatar.
3. Mohamadou Sumareh
Sumareh (kiri) ketika bersama dalam sesi latihan skuad JDT pada musim ini. — Facebook/TFC
Sri Pahang FC merupakan antara pasukan yang mengejutkan pemerhati bola sepak negara pada musim ini selepas berjaya meletakkan dirinya sebagai antara pasukan yang mampu bersaing di kelompok teratas liga.
Selepas 14 perlawanan, skuad Tok Gajah berada di kedudukan keempat liga dengan 28 mata hanya dipisahkan dengan perbezaan jaringan gol dengan pasukan di tangga ketiga liga iaitu KDA FC.
Di sebalik aksi baik ditonjolkan itu, masih terdapat penambahbaikan dilihat perlu dilakukan Sri Pahang FC sekiranya mahu terus kekal konsisten bersaing di bersama kelab di kelompok teratas.
Antara posisi yang dilihat perlu diperkukuhkan lagi adalah di bahagian sayap kanan pasukan.
Buat masa ini, skuad Tok Gajah masih tidak memiliki pemain sayap kanan tetap yang begitu berpengaruh dan berpengalaman dalam liga domestik.
Malah Ketua Jurulatih Sri Pahang FC, Fandi Ahmad juga dilihat sering bertukar-tukar pemain untuk diletakkan di bahagian tersebut antaranya dengan menggunakan Zuhair Aizat dan juga pemain tengahnya, Baqiuddin Shamsudin.
Oleh itu, peminat berpandangan bahawa pasukan perlu membawa masuk pemain sayap kanan baharu yang benar-benar boleh dijadikan sandaran buat pasukan dalam bukan sahaja melakukan gerakan berbahaya tetapi juga menjaringkan gol.
Dalam perbincangan tersebut, antara nama yang disebut-sebut adalah bekas tonggak utamanya yang kini sudah beraksi JDT selama beberapa musim selepas meninggalkan skuad Tok Gajah pada 2017.
Pada masa sama, kemungkinan tersebut juga berasas memandangkan pemain yang baru berusia 28 tahun itu ketika ini sedang berusaha untuk mendapatkan lebih minit permainan bagi memulihkan prestasinya.
Dia hanya hanya berjaya membuat dua penampilan bersama skuad Harimau Selatan pada musim ini.
Meskipun turut dikaitkan dengan berita perpindahan ke Kelantan FC, potensi perindahan ke skuad Tok Gajah dilihat sebagai pilihan yang lebih munasabah memandangkan situasi pasukan kendalian Fandi yang kini lebih stabil.
Pada masa sama, Sri Pahang FC juga terbukti mempunyai hubungan yang baik dengan JDT apabila pasukan itu diperrkuatkan dengan empat pemain pinjaman dari skuad gergasi tanah air pada musim ini iaitu Izham Tarmizi, Fadhli Shas, Syazwan Andik Mohd Ishak dan Azrif Nasrulhaq Badrul Hisham. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram