Sang Penyu tempang tanpa import, 3 ubi muda sesuai diberi peluang berdepan KDA FC


  • Podium
  • Isnin, 03 Jul 2023

Mohd Safwan (kiri) antara wajah yang mungkin diberi peluang 'naik pangkat' ke skuad senior. — Facebook/JOHORSouthernTigers

TERENGGANU FC (TFC) dijadualkan bertembung dengan Kedah Darul Aman FC (KDA FC) dalam perlawanan Liga Super di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA), Kuala Nerus, Terengganu pada Isnin.

Namun, cabaran hebat menanti skuad kendalian Tomislav Steinbruckner susulan empat pemain import pasukan itu mungkin tidak dapat diturunkan.

Tidak dapat dinafikan, ketiadaan dua tonggak import, Ivan Mamut dan Argzim Redzovic akan memberi impak agak besar apabila kedua-duanya digantung satu perlawanan setelah dilayangkan kad merah pada perlawanan menentang Johor Darul Takzim (JDT) pada 17 Jun lalu.

Lebih mengeruhkan keadaan, Sardor Kulmartov dan Syafiq Ismail juga dilaporkan masih belum pulih sepenuhnya daripada kecederaan yang dialami, manakala Jordan Mintah diketepikan daripada skuad utama dan akan beraksi dengan pasukan Terengganu FC II gara-gara masalah disiplin.

Sehubungan itu, bagi mengimbangi kekuatan di beberapa posisi yang ditinggalkan mereka, Steinbruckner memaklumkan, dia bakal membawa masuk tiga pemain daripada skuad bawah 23 tahun.

Berikut Majoriti senaraikan tiga bintang muda yang berpotensi untuk diturunkan bagi menggantikan keempat-empat pemain import tersebut.

19c8c1ef-3e0d-4ef7-9080-c226db605ece

Safwan berpeluang beraksi bersama skuad senior TFC apabila kerap diturunkan sebagai gantian. — Facebook

1) Mohd Safwan Mazlan

Pemain berusia 21 tahun yang dikenali dengan panggilan ‘Anney’ itu menjadi antara ‘ubi muda’ yang menjadi kegemaran peminat.

Dia dilihat antara yang sesuai dibawa untuk menggantikan Sardor Kulmatov dan Argzim Redzovic di bahagian pertahanan.

Keupayaannya mempamerkan versatiliti dalam kebanyakan perlawanan mendapat pujian daripada penyokong Sang Penyu yang menginginkan pemain tersebut lebih kerap diturunkan dan mempunyai banyak masa di atas padang.

Sepanjang musim ini, Safwan turut menerima peluang untuk beraksi bersama skuad senior TFC apabila dia kerap diturunkan sebagai pemain gantian.

Malah, dia juga mempamerkan aksi yang agak baik ketika perlawanan separuh akhir Piala FA antara Terengganu dan Kuala Lumpur FC (KL City) yang berlangsung dengan cukup sengit di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak baru-baru ini.

2. Hakimi Abdullah

Hakimi tampil dalam enam perlawanan Liga Super. — Instagram/Hakimi

Tonggak sayap kiri Terengganu FC, Hakimi Abdullah bukanlah seorang pemain yang cukup dikenali namun dalam kalangan skuad Penyu pasti mengenali corak permainannya.

Rata-rata penyokong Terengganu sebelum ini pernah memberi komen yang mana mereka mengatakan pemain itu masih memerlukan bimbingan dan minit permainan secukupnya bagi menjadikan dia lebih matang.

Berdasarkan statistik, pemain berusia 23 tahun itu hanya tampil dalam enam perlawanan Liga Super dan merekodkan satu jaringan serta satu hantaran bantuan musim ini.

Namun, Hakimi dilihat antara pemain muda yang pantas diberi peluang oleh Steinbruckner untuk bersama skuad senior bagi menggantikan Ivan Mamut dalam pertembungan dengan anak-anak buah Nafuzi Zain pada Isnin.

3. Wan Mohamad Fazli Wan Ghazali

Wan Fazli pernah membantu pasukan Piala Presiden Terengganu muncul juara pada 2018. — Facebook

Bekas pemain B23 Terengganu itu dilihat berpotensi untuk menggalas tanggungjawab sebagai penyerang skuad Pantai Timur bagi menggantikan Jordan Mintah.

Pemain berketinggian 1.74 meter itu juga pernah membantu pasukan Piala Presiden Terengganu muncul juara pada 2018 dan naib juara pada 2017 sebelum menyertai pasukan TFC II selama tiga musim bermula 2020.

Malah, nama Wan Mohamad Fazli mencanak naik selepas dia muncul penjaring terbanyak bagi pasukan Hitam Putih dalam Liga Perdana pada musim lalu.

Dia juga pernah dinobatkan sebagai penjaring terbanyak Piala Presiden 2019 dengan menjaringkan 15 gol.

Justeru, tidak hairanlah jika Steinbruckner melihat dia mampu mempamerkan kemahiran dan taktikal yang baik di atas padang untuk berdepan pasukan Utara tanah air itu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram