SKUAD Bawah 22 Tahun (B-22) negara memulakan saingan Sukan SEA Phnom Penh di Kemboja dengan langkah kanan apabila berjaya merekodkan kemenangan besar 5-1 ketika menentang Laos dalam aksi pertama peringkat kumpulan pada Rabu.
Keputusan positif diperolehi itu pastinya memberikan momentum terbaik terhadap pasukan kendalian E. Elavarasan yang disasarkan untuk membawa pulang pingat emas buat negara pada kejohanan sukan dwi-tahunan tersebut.
Dalam pada itu, perlawanan pada malam Rabu itu turut mendapat perhatian peminat bola sepak tempatan.
Ini kerana ia turut memberi ruang kepada mereka untuk menilai prestasi pemain muda daripada kelab masing-masing yang lazimnya tidak mendapat tempat dalam skuad utama pasukan ketika aksi di Liga Malaysia (M) pada musim ini.
Dalam aksi pertama peringkat kumpulan pada Rabu, skuad B-22 negara menewaskan Laos dengan jaringan 5-1. — FAM
Antara yang mendapat perhatian dalam perlawanan tersebut adalah aksi dipamerkan pemain pertahanan muda Terengganu FC, Mohd Safwan Mazlan.
Dalam aksi tersebut, pemain berusia 21 tahun itu yang dikenali dengan panggilan ‘Anney’ beraksi bukan di posisi utamanya di pertahanan kiri sebaliknya diturunkan sebagai pemain pertahanan tengah.
Keupayaannya mempamerkan verstaliti dalam perlawanan berkenaan mendapat pujian daripada penyokong Sang Penyu yang berpandangan pemain tersebut perlu lebih kerap diturunkan apabila kembali ke pangkuan TFC.
“Kalau jurulatih bagus, pandai je guna pemain,” ujar Azanny Ishak.
“Safwan tu bagus. Tapi sayang jurulatih tak nampak dan jarang guna,” ujar Syukur Saleh.
“Anney adalah pemain yang serba boleh,” tulis Damha Irhkaf.
Sepanjang 10 perlawanan pertama dilalui TFC, Safwan, 21, yang sudah bersama TFC selam dua musim hanya membuat empat penampilan sebagai pemain gantian.
Mohd Safwan (kiri) ketika beraksi bersama TFC pada musim ini. — Facebook/JOHORSouthernTigers
Pada ketika ini, pengendali Tomislav Steinbruckner memilih Shahrul Nizam Ros Hasni yang juga kapten pasukan dan pemain import, Sardor Kulmatov sebagai gandingan pertahanan tengah utama skuadnya.
Skuad Sang Penyu ketika ini dilihat masih bergelut untuk mencapai prestasi yang diharapkan penyokong pada saingan Liga Super 2023.
Dalam dua perlawanan terakhir liga, TFC merekodkan gagal untuk meraih sebarang mata apabila tewas masing-masing di tangan Sri Pahang FC, 1-2 dan Selangor FC, 1-5.
Tomislav ketika ini dilihat masih belum menemui formula terbaik untuk mengembalikan prestasi ditunjukkan skuad Sang Penyu pada musim lalu yang membawa pasukan tersebut sebagai naib juara liga.
Setakat 10 perlawanan pertama, TFC hanya berada di kedudukan kelapan daripada 14 pasukan dengan 13 mata hasil empat kemenangan, satu seri dan lima kekalahan yang direkodkan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram