Pemerhati bola Uzbek 'hint' destinasi import tinggi lampai andai sah tinggalkan Sang Penyu


  • Podium
  • Khamis, 29 Jun 2023

Menjelang jendela perpindahan kedua pada Julai, TFC merupakan antara kelab Liga Super yang dilihat mula merombak barisan pemain mereka. — Facebook/TFC

KEKECEWAAN penyokong Terengganu FC terhadap pemain tengah mereka, Liridon Krasniqi menemui kemuncak apabila kelab Pantai Timur itu disingkirkan daripada saingan Piala FA ketika peringkat separuh akhir.

Meskipun beraksi dengan cukup baik sepanjang 120 minit permainan, sepakan penaltinya yang ditepis penjaga gol Kuala Lumpur (KL) City FC, Azim Al-Amin mengesahkan penyingkiran skuad Sang Penyu.

Dilihat sering mensia-siakan peluang, kecenderungan Liridon untuk memperlahankan tempo permainan sering mencetuskan perbualan hangat dalam kalangan peminat setia kelab.

Sardor Kulmatov antara tonggak import TFC yang dibawa masuk pada musim ini. — Facebook/TFC

Dengan statusnya sebagai pemain pinjaman dari Johor Darul Takzim (JDT), ramai penyokong TFC yang mengharapkan agar kontrak bersama skuad Hitam Putih ditamatkan serta-merta.

Namun bukan itu sahaja, menjelang jendela perpindahan pada Julai, difahamkan seorang lagi pemain import dikhabarkan akan meninggalkan pasukan Pantai Timur iaitu, pemain kelahiran Uzbekistan, Sardor Kulmatov.

Bek tengah skuad Sang Penyu itu dilihat kurang memberi sumbangan di atas padang.

Kehadiran Sardor dilihat tidak dapat memperkukuh lagi benteng pertahanan skuad Sang Penyu. — Facebook/TFC

Kehadiran Sardor dilihat tidak dapat memperkukuh lagi benteng pertahanan skuad Sang Penyu apabila mereka dibolosi sebanyak 18 kali dalam 14 perlawanan dengan 10 daripadanya ketika dia berada di atas padang.

Dalam masa sama, pemain itu juga tidak diturunkan oleh sebagai kesebelasan utama ketika menentang KL City baru-baru ini, sebaliknya Tomislav Steinbruckner memilih untuk meletakkan Redzovic Argzim untuk beraksi dalam perlawanan separuh akhir Piala FA.

Namun, perkara itu difahamkan berlaku atas faktor kecederaan yang dialaminya.

WhatsApp Image 2023-06-28 at 22.42.47

Conor memberi bayangan seolah-olah Kulmatov akan mengorak langkah ke Liga Thailand. — Twitter

Timbul khabar angin mengatakan dia berkemungkinan akan digantikan, bagaimanapun melihat prestasi yang agak suram ketika ini, ramai yang masih belum boleh meramal destinasi selepas ini.

Namun, berdasarkan satu ciapan seorang pemerhati bola sepak Uzbekistan dikenali sebagai Conor, di laman Twitternya, dia memberi bayangan seolah-olah Kulmatov akan mengorak langkah ke Liga Thailand.

"Saya percaya dia akan pergi tidak lama lagi, ada yang mengaitkan dia dengan kelab di Uzbekistan, tapi saya rasa dia boleh bermain di Liga Thailand dengan baik," ciapnya. Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram