KEKECEWAAN penyokong Terengganu FC terhadap pemain tengah mereka, Liridon Krasniqi menemui kemuncaknya apabila kelab Pantai Timur itu disingkirkan daripada saingan Piala FA ketika peringkat separuh akhir.
Meskipun beraksi dengan cukup baik sepanjang 120 minit permainan, sepakan penaltinya yang ditepis penjaga gol Kuala Lumpur (KL) City FC, Azim Al-Amin mengesahkan penyingkiran skuad Sang Penyu.
Hal itu bukanlah sesuatu yang baharu apabila pemain naturalisasi negara tersebut kerap dijadikan kambing hitam jika pasukan berkenaan gagal mencatatkan kemenangan.
Di samping kerap mensia-siakan peluang, kecenderungan Liridon untuk memperlahankan tempo permainan sering mencetuskan perbualan hangat dalam kalangan peminat setia kelab.
Jadi, memandangkan dia hanya tiba dengan status pinjaman dari Johor Darul Takzim (JDT), terdapat cadangan ramai yang mengharapkan agar pihak pengurusan menamatkan kontraknya serta-merta.
Liridon (kanan) dan Sardor (tengah) kurang memberi impak buat Sang Penyu musim ini. — Facebook/Terengganu FC
Malah, mereka juga tidak menyorokkan rasa kecewa tersebut apabila penyokong Terengganu FC seolah-olah sudah mengenal pasti calon untuk menggantikan Liridon sekiranya cita-cita itu dapat direalisasikan.
Pemain tengah kebangsaan Uzbekistan, Nurillo Tukhtasinov dikatakan sebagai pilihan terbaik berdasarkan khabar angin yang bertebaran di media sosial.
Namun, dengan perkara itu hanya berstatus gosip perpindahan, tiada sebarang respons mahupun kemas kini yang diberikan mana-mana pihak atas penghijrahan itu.
Bagaimanapun, dalam perkembangan terbaru, penyokong Sang Penyu seakan-akan menerima berita baik yang disampaikan ejen bola sepak yang berpangkalan di Tajikistan, Kova Talivpur.
Dalam sebuah kompilasi video menampilkan Nurillo yang dimuat naik di laman YouTube Talivpur, terdapat lambakan komen daripada pengguna media sosial yang mengalu-alukan kehadirannya ke Pantai Timur.
Tangkap layar menunjukkan Nurillo sudah semakin hampir untuk menyertai Terengganu FC.
Tetapi, apa yang menarik adalah apabila ejen berkenaan menjawab ucapan selamat datang daripada peminat Terengganu FC, Mohd Nasa Sabri.
"Minggu depan, kami sudah menandatangani dengan kelab anda. Tahniah," ujar Talivpur sebagai jawapan terhadap kata alu-aluan itu pada Selasa.
Selain Liridon, terdapat juga ura-ura yang mengatakan dua import Sang Penyu, Domagoj Pusic dan Sardor Kulmatov akan meninggalkan kelab itu selepas kurang memberikan impak seperti mana diharapkan.
Pemergian kedua-dua pemain itu dilihat akan membuka ruang buat Terengganu FC membawa masuk seorang lagi import dengan mereka kini sudah memenuhkan kuota berkenaan.
Musim ini, Nurillo beraksi dengan sebuah kelab dalam Liga Super Uzbekistan, Neftchi Fergana dengan mereka berada di tangga keempat selepas 12 perlawanan.
Pemain berusia 26 tahun itu juga boleh dianggap sebagai tonggak pasukan dengan dia beraksi dalam kesemua perlawanan selain sudah menjaringkan tiga gol serta dua bantuan jaringan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram