PASUKAN Terengganu FC (TFC) terpaksa berputih mata apabila ditundukkan oleh Kuala Lumpur City FC (KL City FC) pada perlawanan separuh akhir Piala FA 2023 yang berlangsung di Stadium Mizan Zainal Abidin, Gong Badak, Terengganu pada Ahad lepas.
Kedua pasukan tersebut menampilkan aksi yang cemerlang dengan mengekalkan keputusan 0-0 selama 120 minit permainan berlangsung.
Keputusan itu menyaksikan perlawanan berkenaan terpaksa diheret ke penentuan sepakan penalti bagi menentukan pasukan yang bakal menempah tiket ke pentas akhir Piala FA.
Kelihatan penyokong Terengganu kecewa selepas Sang Penyu gagal layak ke peringat akhir Piala FA. — Facebook/Terengganufc
Bagaimanapun, dengan keputusan 4-2 yang memihak kepada skuad Warga Kota, penyokong Terengganu FC terpaksa menelan realiti pahit bahawa mereka gagal untuk mara ke final pertandingan itu untuk tahun kedua berturut-turut.
Dalam pada itu, dua pemain TFC, Nik Sharif Haseefy dan Liridon Krasniqi gagal menyempurnakan sepakan penalti sekali gus tidak layak ke pentas akhir Piala FA yang menyebabkan penyokong Sang Penyu marah dengan kejadian tersebut.
Namun, pengendali TFC, Tomislav Steinbruckner tampil mengulas perkara tersebut dengan mempertahankan anak-anak buahnya, terutamanya Liridon yang menjadi bahan bualan ramai.
Menurutnya, kegagalan kejadian tersebut berpunca daripada keengganan beberapa pemain Sang Penyu yang tidak mahu mengambil sepakan penalti.
Bagaimanapun, komen yang diberikan oleh pengendali kelahiran Croatia itu dianggap memakan diri apabila menerima kritikan daripada penyokong TFC.
Pengendali Sang Penyu, Tomislav kecewa dengan prestasi anak buah kendaliannya. — Facebook/Terengganufc
Penganalisis sukan, Prof Madya Dr Zulakbal Abd Karim turut memberikan pandangan mengenai isu tersebut.
"Saya sentiasa percaya, apa pun yang berlaku kepada pemain adalah hasil latihan yang diberikan oleh jurulatih.
"Jadi sebagai jurulatih, kita sepatutnya sedar bahawa jika sampai ke peringkat ini, akan ada kemungkinan untuk melakukan sepakan penalti dan perlu melatih pemain kita daripada awal.
"Kalau pemain tak confident, maksudnya dia tak berlatih bersungguh-sungguh ataupun coach tak buat latihan yang serius untuk sepakan penalti yang bakal diambil," katanya kepada Majoriti.
Selain itu, penganalisis sukan itu juga memberikan pendapat bahawa sebagai seorang jurulatih, sepatutnya menyediakan satu sesi latihan khusus untuk sepakan penalti agar memberi pendedahan awal kepada pemain mereka.
"Sebagai contoh, menyediakan satu environment seolah-olah seperti semi final, panggil penyokong datang ke stadium agar pemain terdedah dengan orang ramai ketika berlatih sepakan penalti dan panggil ultras.
"Tapi kalau sehingga pemain profesional di peringkat Liga Super pun gugup dan gementar ambil penalti, ini mesti ada something yang tak kena dalam sesi latihan,apa pun kembali kepada coach," jelasnya.
Dr Zulakbal turut memberikan pandangan mengenai kritikan secara terbuka yang dibuat oleh pengendali TFC terhadap anak-anak buahnya tidak sepatutnya berlaku.
"Kalau kita tengok dalam dunia bola sepak, pemain-pemain bintang yang gagal menyempurnakan sepakan penalti banyak sebenarnya dalam perlawanan yang penting, itu biasa.
"Tetapi, saya fikir sebagai jurulatih, kita sepatutnya melindungi pemain kita dalam dan luar padang, janganlah kita sebagai jurulatih yang melatih mereka, tiba-tiba kita yang mengkritik pemain sendiri. Jadi, jurulatih profesional biasanya dia akan elak untuk mengkritik pemain sendiri," tegasnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram