PASUKAN Terengganu FC (TFC) ketika ini berada di tangga kelapan Liga Super musim ini dengan mencetak enam rekod kemenangan sepanjang 14 perlawanan setakat ini.
Namun kelemahan yang berada di posisi penyerang mereka menyebabkan skuad Penyu itu mengalami enam rekod kekalahan dalam kejohanan domestik itu.
Ketika itu, barisan tonggak utama pasukan dari Pantai Timur itu disandang oleh Sony Nordé, Liridon Krasniqi dan Amirul Syazwan Nor Azmi yang dipertanggungjawabkan untuk menembusi pertahanan pihak lawan.
Namun ketumpulan serangan di posisi tersebut menyebabkan skuad kendalian Tomislav Steinbruckner itu sukar menjaringkan gol lantas memadamkan api kemenangan mereka dalam perlawanan.
Difahamkan terdapat khabar angin yang bertiup kencang bahawa ada pemain import Uzbekistan, Nurillo Tukhtasinov dikaitkan dengan TFC.
Tukhtasinov dikhabarkan akan ke Terengganu FC untuk menguatkan barisan tonggak utama skuad berkenaan. — Instagram/tukhtasinov_nurillo
Buat masa ini, pemain berusia 26 tahun sedang berkhidmat di kelab bola sepak di negara Asia Tengah, Neftchi Fergana pada musim ini.
Dengan kontrak bermain bersama kelab tersebut bakal tamat pada Disember ini, tidak hairan juga jika penyerang berketinggian 1.72 meter itu dirisik skuad Penyu untuk mengukuhkan barisan tonggak utama pasukan berkenaan.
Malah, dia dikatakan bersahabat baik dengan pemain pertahanan TFC, Sardor Kulmatov kerana pernah sama-sama berkhidmat dalam pasukan sama iaitu Sogdiana Jizzakh FC.
Tukhtasinov ketika ini juga memaparkan prestasi yang baik apabila membuat 13 penampilan dalam Liga Super Uzbekistan dengan menyumbang sebanyak dua gol dan tiga assist.
Tukhtasinov mengikuti akaun Instagram Ciger.
Bagaimanapun, tidak hairan jika dia mungkin memendam hasrat untuk menyertai Kedah Darul Aman (KDA) FC pula.
Bukan apa, pemain tersebut dilihat mengikuti rapat akaun Instagram pemain pertahanan Sang Kenari, Bojan Ciger.
Perkara tersebut dilihat menarik memandangkan kedua-dua mereka mempunyai latar belakang berbeza, namun Nurillo masih mengikuti perkembangan pemain kelahiran Serbia itu.
Ketika ini, skuad Hijau Kuning dilaporkan sedang mencari pemain tengah bagi menguatkan posisi berkenaan kerana pemain tengah mereka, Manuel Ott sering diberikan kritikan daripada penyokong atas prestasi permainan yang kurang memuaskan.
Biarpun spekulasi itu belum cukup kuat untuk mengaitkan Tukhtasinov bersama TFC ataupun Kedah, sekurang-kurangnya ia mengujakan peminat kedua-dua pasukan menjelang jendela perpindahan kedua pemain Julai depan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram